Dalam satu sidang media di Putrajaya semalam, Abdul Rahim berkata kenyataan itu adalah berdasarkan 10 fakta dan maklumat yang dikumpul oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk keterangan daripada Mat Sabu sendiri.
Antaranya beliau pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeni melalui tulisannya bertajuk "Teladan Pemerintahan Nabi Yusof, Khomeni" dalam ruangan Fikrah yang terbit dalam akhbar Harakah pada 5 hingga 15 Julai 2008.
"Berdasarkan temuramah yang dilakukan Ustaz Zamihan Mat Zain, pegawai KDN bersama Dr Abdul Aziz Hanafi menjelaskan bahawa Mat Sabu pernah melafazkan selawat sebagaimana yang diamalkan penganut Syiah pada satu sesi ceramah PAS di Madrasah Diniah, Arau Perlis pada tahun 2005," kata Abdul Rahim.
Selain itu Mat Sabu juga menyatakan kekaguman dengan kepimpinan dan perjuangan pemimpin Revolusi Iran 1979, Imam Ruhollah Khomeini yang mana banyak mencorak pemikiran beliau dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden Pas pada 13 Julai 2011.
Beliau juga secara terang-terangan memuji Setiausaha Agung Syiah Lubnan iaitu Sayyid Hassan Nasrallah dan mengaku beliau dan isteri kerap bertemu dengan pemimpin berkenaan lebih daripada empat hingga lima kali.
Berdasarkan maklumat, beliau juga didapati membuat lawatan ke sebuah masjid Syiah di Kampung Aluar Wilayah Satun Selatan Thailand serta melakukan kunjungan ke atas pemimpin Syiah di sana pada tahun 2011.
Mat Sabu turut didapati beberapa kali menghadiri kelas pengajian yang dikendalikan ustaz fahaman Syiah pada 2011 di Bukit Merah, Semanggol, Perak.
Selain itu terdapat saksi seorang Tok guru yang melihat Mat Sabu sendiri menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya, yang merupakan amalan sinonim dengan golongan Syiah sekaligus membuktikan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah.
Ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013 sebelum ini, Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidmendedahkan pihak KDN mempunyai maklumat dan bukti berhubung kewujudan pemimpin Pas yang menyokong gerakan Syiah.
Malah Zahid turut menuntut keberanian serta komitmen politik daripada Pas agar menolak pemimpin terbabit malah turut melahirkan rasa hairan, bagaimana pengamal ajaran Syiah boleh diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti itu.
Paling menarik, ekoran kenyataan tersebut ramai pemimpin pakatan pembangkang khususnya Pas segera tampil membuat kenyataan membela Mat Sabu, sedangkan ketika pendedahan itu dilakukan, Zahid langsung tidak menyebut mana-mana nama individu. Malah ketika diminta mengulas mengenainya, Mat Sabu dengan pantas mengatakan akan mengambil tindakan terhadap Zahid ekoran kenyataan tersebut.
Mungkin kerana menyedari akan kesilapan yang dilakukan itu, Mat Sabu dengan segera membuat kenyataan balas mengatakan dia tidak pasti sama ada kenyataan Zahid itu merujuk kepada dirinya atau sebaliknya.
Selain pihak KDN, ramai di kalangan pimpinan Pas turut mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah apabila isu mengenai fahaman sesat itu dibangkitkan. Malah ia turut diakui sendiri Mat Sabu ketika siri kempen pemilihan yang diadakan oleh parti itu baru-baru ini.
Beberapa hari sebelum berlangsung muktamar, Mat Sabu dilaporkan bertemu dengan beberapa orang kenalannya untuk menyuarakan kebimbangannya. Dia mengeluh kerana kurang senang dengan gaya dan bentuk kempen keterlaluan yang dijalankan oleh para pengikut dan penyokong Pas.
"Aku dituduh Syiah!" begitulah antara katanya ketika bercakap dengan salah seorang rakan yang ditemui itu dengan nada sedih dan kecewa.
"Apa Syiah buktikan dulu. Aku hanya mengambil semangat revolusi Iran untuk menghadapi Umno. Apakah kerana pernah ke Iran maka dituduh Syiah…" katanya lagi
Disebabkan pendedahan yang dilakukan semalam, Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang terpaksa menulis kenyataan yang panjang lebar di dalam ruangan portal pembangkang, bagi membela Mat Sabu. Namun apabila diteliti semula artikel tersebut ada ayat-ayatnya yang seakan ingin memberi tekanan kepada Mat Sabu.
"Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al "Quran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli Sunnah wal Jama'ah. Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli Pas WAJIB menganut mazhab Ahli Sunnah wal Jama'ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah wal Jama'ah dalam Pas" katanya.
Menurutnya lagi, parti itu bersedia mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang jelas telah terpesong dari fahaman Ahli Sunnah wal Jama'ah.
"Pas juga memahami betapa Revolusi Islam Syi'ah di Iran tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia dan Pas dapat menangani ahlinya yang terpengaruh dengan perkembangan yang tidak setimpal dengan masyarakat setempat. Pas tetap mendukung demokrasi dan bersedia menghadapi penipuannya dan ahlinya yang didapati terkeluar daripada landasannya.
"Sama ada terkeluar dengan sendirinya daripada Pas atau diambil tindakan setelah terbukti dengan adil tanpa menjejaskan dasar dan konsep perjuangan Islam Mazhab Ahli Sunnah yang didukung oleh Pas secara istiqamah dan muhasabah" tegasnya lagi.
Sent from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment