jentera pas

Dalam membina cinta negara ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)



Followers

10/03/2014

Anwar Sah Meliwat, MH370 Pula Hilang

Puak pembangkang nampaknya cukup tidak puas hati apabila berita kehilangan pesawat MH370 mengalihkan perhatian dari Ketua Pembangkang yang telah didapati bersalah Jumaat lepas.   Rata-rata komen mereka di media sosial tidak segan silu memperlekeh tragedi kehilangan ini sambil mengutuk kerajaan. 

Berbagai-bagai teori dikemukakan bagi mengaitkan tragedi tersebut dengan kes Anwar Ibrahim.  Mereka juga merungut kononnya kerajaan lambat bertindak, lambat mengumumkan perkembangan terkini, sengaja menyembunyikan fakta dan berbagai-bagai lagi.   Mereka mempersoal langkah mencari dan menyelamat dan aset yang digunakan.  Malah mereka mencemuh keprihatinan para pemimpin kerajaan, terutama Datin Seri Rosmah sebagai lakonan. 

Kesimpulannya, mereka hanya ingin mengutuk kerajaan, dan langsung tidak prihatin terhadap mangsa MH370 .  Mungkin dengan memaki hamun kerajaan setiap hari memberikan mereka satu kepuasan jiwa yang tidak terhingga.   Oleh itu, segala kemarahan atas keputusan mahkamah yang mendapati Anwar bersalah dihamburkan sepenuhnya dalam memperkatakan tragedi MH370. 

Anwar sendiri, di dalam blognya langsung tidak prihatin dengan apa yang terjadi terhadap MH370.  Anwar terlalu sibuk cuba membela diri dan mencari publisiti.  Anwar benar-benar kecewa apabila demonstrasi yang dirancang semalam tidak menjadi mungkin kerana rakyat terlalu sibuk risaukan MH370.   Penafian Anwar yang beliau tidak pernah meliwat telah ditenggelamkan berita tragedy tersebut. 

Lebih malang bagi Anwar apabila dalam usaha Anwar untuk menafikan yang beliau bersalah, Majlis Peguam pula tiba-tiba mengesahkan bahawa beliau seorang peliwat. Petikan kenyataan rasmi Majlis Peguam adalah seperti berikut:

Majlis Peguam amat terganggu dengan hukuman penjara lima tahun ke atas Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh Mahkamah Rayuan, atas apa yang jelas merupakan hubungan seks suka sama suka antara dua orang dewasa.”

Majlis Peguam berhujah bahawa kesalahan di bawah Seksyen 377A yang meletakkan liwat sebagai jenayah hanya terpakai jika liwat tersebut dilakukan atas dasar paksaan. Sedangkan, Anwar melakukannya atas dasar kerelaan mangsa. 

Jelas, Majlis Peguam cuba memutar-belit undang-undang negara dan cuba menghalalkan liwat. 

Anwar selama ini begitu bersungguh-sungguh menafikan beliau meliwat, dan kononnya tuduhan liwat hanyalah konspirasi dan fitnah UMNO tetapi kenyataan akhbar Majlis Peguam tersebut secara langsung menolak semua penafian Anwar sekali gus, diri Anwar sendiri ke dalam gaung. 

Sehingga kini, Anwar mahupun peguambelanya masih belum memberi sebarang komen mengenai kenyataan akhbar Majlis Peguam. 

Nampaknya, walaupun kehilangan MH370 dianggap oleh penyokong PR sebagai ‘mengganggu’ strategi Anwar untuk membuat kecoh sempena keputusan rayuan kesnya, tetapi ia telah memberi sedikit kelebihan kepada Anwar apabila rakyat terlepas pandang akan kenyataan akhbar Majlis Peguam.  


05/03/2014

Kes Polis Maut Diserang Penjenayah Mana Peguam Dan NGO Pembangkang?

Polis Maut Ditikam Penjenayah,
Media arus perdana semalam melaporkan berita mengenai seorang anggota polis yang maut ditikam dengan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah warga asing ketika melakukan rondaan di Taman Sentosa, Klang.

Manakala rakan setugas mangsa pula dikatakan nyaris maut setelah dilibas dengan parang di muka dan kepala. Kejadian tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, ketika mangsa, Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, dan rakan setugasnya, Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, cuba menahan dua lelaki dan tiga wanita dalam keadaan mencurigakan.

 

Namun apa yang menyedihkan, insiden tersebut langsung tidak diendahkan oleh para peguam dan NGO pembangkang yang sebelum ini begitu lantang bersuara terutama dalam kes-kes yang melibatkan kematian penjenayah.

Apabila ramai yang mempersoalkan tindakan mereka itu, alasan diberikan mereka bukannya ingin membela penjenayah. Semua itu dilakukan hanyalah dalam konteks hak asasi manusia dan membela mereka yang kononnya ditindas.

Cuba kita lihat dari konteks yang lebih luas. Pembangkang sebelum ini cuba mengapi-apikan rakyat, kononnya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal membendung tahap jenayah yang semakin meningkat.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut membentangkan pelbagai indeks data yang menunjukkan peningkatan jenayah di Malaysia yang kononnya dilakukan oleh badan-badan bebas (yang amat meragukan).

Seterusnya apabila pihak berkuasa cuba menjalankan tugas dan mengambil tindakan terhadap para penjenayah yang terlibat, mereka sekali lagi tampil dengan lantang kononnya pihak berkuasa tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, melanggar hak asasi manusia dan sebagainya.

Malah ada yang mempertikaikan tindakan polis yang menembak mati para penjenayah terbabit, kerana dikatakan hanya tertumpu kepada kaum tertentu. Sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup turut serta dalam setiap operasi, kononnya untuk memantau tindakan yang dilakukan oleh PDRM.

Namun, apa yang menggelikan hati ialah, apabila polis meminta mereka menandatangani surat pelepasan (surat mati) untuk tidak menyalahkan polis sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini. Orang yang kononnya berani itu, terus senyap dan langsung tidak berani untuk membangkitkan isu mengenainya lagi.

Malah ketika kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan 2013) yang bertujuan untuk membendung aktiviti ini khususnya jenayah berat, kumpulan yang sama sekali lagi tampil untuk membantahkan.

Persoalannya apa sebenarnya yang mereka mahu? Mengurangkan indeks jenayah yang semakin meningkat? Atau membela para penjenayah atas nama hak asasi walaupun dengan mengorbankan nyawa anggota polis yang bertugas? Atau sekadar hanya ingin mewujudkan sentimen kemarahan rakyat agar membenci kerajaan.

Tetapi apabila kita kaji sikap sebenar pembangkang maka kita akan mendapati, segala yang diperjuangkan tidak lebih hanya bermotif politik dan kadang kala mereka bagaikan 'takut kepada hantu yang tiada' dan bimbang kepada bayang-bayang yang tidak wujud.

Kesimpulannya, mereka hanya inginkan kuasa untuk memerintah. Demi untuk mencapai matlamat tersebut, mereka sanggup tampil dan membantah apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh kerajaan.

Sebab itu pembangkang lebih rela memperjuangkan penjenayah, berbanding nasib anggota polis yang mempertaruhkan nyawa demi untuk menjaga keselamatan masyarakat.

Itulah kualiti pembangkang di negara ini!

Sent from my BlackBerry® smartphone

04/03/2014

Rakyat Sengsara Kerana Pentingkan Diri Sendiri

Laman Facebook Media Selangor hari ini memuat naikkan sekeping gambar Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim di dalam sebuah pesawat tambang murah Firefly. Menurut admin page tersebut, gambar tersebut di rakam ketika Khalid dalam perjalanan pulang ke Selangor sejurus selepas dia menandatangani MoU bersama Kerajaan negeri Kelantan.

Namun apa yang menarik ialah, admin page terbabit cuba menonjolkan Khalid yang kononnya bersifat ‘zuhud’ kerana sanggup menggunakan pesawat tambang murah itu walaupun dia merupakan seorang menteri besar.

Persoalannya ialah, apakah wajar seorang menteri besar yang mempunyai gaji bulanan sekitar RM50 ribu (dicampur dengan lain-lain elaun) berebut tiket tambang murah dengan rakyat biasa?

Sedangkan tindakan tersebut boleh disifatkan sebagai ‘mementingkan diri sendiri’ kerana secara tidak langsung telah menafikan hak rakyat yang lain, untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Ini kerana, umum mengetahui kehadiran Khalid di Kelantan itu adalah merupakan urusan rasmi kerajaan. Secara dasarnya mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan rasmi, semua kos yang berkaitan seperti elaun perjalanan, penginapan dan sebagainya akan ditanggung oleh kerajaan.

Atas sebab itu, apa motif sebenarnya Khalid menggunakan penerbangan tambang murah yang akhirnya akan dibayar dari sumber kewangan negeri? Dan lagi sudah pasti kehadiran Khalid itu turut disertai oleh beberapa orang delegasi dan para pegawai dari Selangor.

Maka secara logiknya, sudah pasti semua ahli rombongan yang mengikuti Khalid itu akan turut sama menggunakan perkhidmatan tambang murah itu.

Bukankah ini membuktikan sikap sebenar Khalid yang mementingkan diri sendiri? Demi untuk mencari publisiti murahan dia sanggup menggunakan pendekatan yang akhirnya akan menyusahkan rakyat.

Salah satu sebab mengapa penerbangan tambang murah ini diwujudkan ialah, untuk memudahkan perjalanan rakyat dari golongan sederhana yang tidak mampu menggunakan penerbangan pesawat komersial yang agak mahal. Atau dalam analogi mudah, orang kaya yang menggunakan kereta mewah seperti Mercedes dan BMW, namun tetap membeli petrol dengan harga subsidi (RON95).

Betul, sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab kita perlu mengamalkan sikap berjimat cermat dalam berbelanja. Namun sekiranya tindakan tersebut akhirnya merugikan rakyat, ia bukanlah satu sikap yang wajar untuk dipuji.

Sudahlah semua perbelanjaan tersebut dibayar menggunakan duit rakyat melalui potongan cukai, namun akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa apabila mendapat menteri besar yang sanggup menyusahkan rakyat, semata-mata ingin berlakon demi kepentingan peribadinya.

Mengapa baru sekarang Khalid mahu menonjolkan sikap merendah dirinya? Sedangkan sebelum ini dia begitu selesa dengan penerbangan mahal kelas pertama.

Jawapannya mudah, Khalid hanya mahu berlakon ‘zuhud’ di hadapan para penyokongnya khususnya para perwakilan parti yang bakal mengundi di dalam pemilihan PKR nanti. Tambahan pula, sebagai calon timbalan presiden PKR, sudah pasti Khalid perlu melakukan sesuatu untuk menambat hati para penyokong Azmin yang selama ini begitu cemburu dengan dirinya.

Contohnya seterusnya, peruntukan sebanyak RM1.75 billion yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan  dan membaiki jalan-jalan rosak di Selangor.

Menurut laporan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, kerajaan Selangor hanya menggunakan RM1.1 billion sahaja dari peruntukan tersebut dan baki RM600 juta itu kemudiannya dimasukkan ke dalam simpanan rizab Selangor.

Dari satu segi, mungkin ada yang akan mengatakan Khalid begitu bijak mengurus tadbir kewangan negeri sehingga mampu mempunyai lebihan wang yang banyak. Namun akhirnya ke mana peruntukan tersebut akan disalurkan?

Apakah ia akan memberikan manfaat kepada rakyat atau hanya sebilangan kecil sahaja yang akan merasainya seperti yang dilakukan Khalid sebelum ini dengan memberikan kenaikan gaji dan elaun hampir 300 peratus kepada wakil rakyat di Selangor.

Sedangkan tanpa di sedari, rakyat sebenarnya berdepan dengan kenaikan kos penyelenggaraan kenderaan, di sebabkan kegagalan Khalid membaiki jalan-jalan yang rosak dan berlubang itu.

Paling menyedihkan, ada di kalangan pengguna jalan raya di Selangor yang terpaksa menanggung kos perubatan kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga mendatangkan kecederaan parah dan meragut nyawa orang yang tersayang.

Kesimpulannya, sikap mementingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh Khalid ini, sebenarnya tanpa disedari telah menyebabkan rakyat terpaksa membayarnya dengan harga yang mahal.


03/03/2014

Biar Islam diHina, Jangan Kristian diCerca Setelah Dr. Mujahid Rawa Pula Masuk Gereja

Blog Ahli Parlimen PAS, Datuk Dr. Mujahid Rawa dengan gahnya memaparkan artikel bertajuk ‘PAS Menangi Pujian Padri’ dalam pos terbarunya semalam.   Artikel itu adalah berdasarkan kenyataan Mujahid di dalam sebuah gereja di Sungai Petani sejurus selepas solat Jumaat pada 28 Februari lalu.   Kehadiran Mujahid di Gereja Christ the King di Sungai Petani itu merupakan kunjungan keduanya ke gereja untuk berdialog mengenai agama.

Dalam kenyataannya, Mujahid menegaskan bahawa PAS tidak boleh berdiam diri apabila orang Kristian di Malaysia terus dicerca. 

Artikel di beberapa portal dan blog pembangkang turut membawa tajuk yang sama iaitu “PAS Will Not Keep Silent As Christians Bashed”.    Antara kandungan artikel-artikel tersebut adalah puji-pujian orang-orang Kristian terhadap Mujahid  atas mesejnya yang jelas membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’. 

Nampaknya, pendirian PAS mengenai kalimah Allah masih belum jelas.   Beberapa tahun lepas, PAS begitu beria-ia menempelak UMNO kerana menghalang penyebaran Injil berbahasa Melayu di semenanjung.  Menurut PAS, UMNO gagal mengamalkan toleransi agama kerana menghalang orang-orang Kristian berdakwah.  Untuk itu, PAS berdiri teguh di belakang, dan kadangkala di hadapan DAP dan Padri-padri Kristian, mengutuk UMNO. 

Apabila isu ini kembali hangat di mahkamah, pendirian PAS mengenainya mula berubah-rubah dan berbeza-beza antara satu pemimpin dengan pemimpin lain.  Isu Kalimah ‘Allah’ di dalam Injil kemudiannya semakin hangat ekoran pihak gereja mengambil sikap degil enggan akur dengan perintah mahkamah yang menghalang penggunaan nama Allah bagi menggantikan ‘Tuhan’ di dalam Injil berbahasa Melayu di semenanjung.  Serbuan JAIS ke gereja yang terlibat menjadikan api yang sebelumnya bersifat setempat, mula merebak. 

Perlu diingatkan bahawa setahun yang lalu, iaitu pada 1 Mac 2013, Nik Aziz dilaporkan bersetuju Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Injil.  Pendirian Nik Aziz pada waktu itu mendapat pujian dari Bishop Dr. Paul Tan Chee dalam menyatakan kekesalan beliau terhadap Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengambil pendirian bertentangan.    

Bagaimanapun, pada 25 Januari tahun ini, kenyataan Nik Aziz mengenai isu ini berbeza pula.  Kali ini, beliau tidak setuju Kristian menggunakan nama ‘Allah’ di dalam Injil berbahasa Melayu.  

Alhamdulillah, setakat ini, Nik Aziz belum lagi membuat sebarang pusingan U atau membelok ke mana-mana dalam memperkatakan isu ini. 

Justeru, bolehlah dianggap bahawa Nik Aziz turut bersetuju dengan UMNO dan mahkamah bahawa Kristian tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Injil berbahasa Melayu. 

Malangnya, nampaknya kenyataan Nik Aziz sudah tidak laku lagi walaupun di kalangan pemimpin bawahan PAS sendiri.  Jika tidak, mana mungkin Mujahid berani ke hulu ke hilir membela Kristian menggunakan nama ‘Allah’ di dalam Injil. 

Malah, untuk tujuan itu, Mujahid bukan saja ‘rajin’ ke gereja, malah beliau turut tampil menjadi barisan hadapan untuk membela dan mempertahankan Kristian bermati-matian.  Mujahid sungguh-sungguh tidak rela Kristian ‘dicerca’. 

Pelik sekali kerana Mujahid tidak pula tampil membela Islam sedemikian rupa apabila Namewee mempermainkan azan, ataupun Alvivi menghina Ramadan.  Mujahid juga tidak peduli jika pemimpin-pemimpin DAP menyalahgunakan ayat-ayat Al-Quran bagi mengaut keuntungan politik di kalangan orang-orang PAS.  Mujahid juga tidak kisah jika tentera siber DAP menghina Rasulullah  SAW dan juga Allah SWT sesuka hati mereka. 

Mungkin bagi Mujahid, biar Islam dicerca, tetapi Kristian jangan sekali.  

Penulis enggan menulis panjang mengenai perkara ini.  Cukuplah dengan memaparkan segala fakta ini untuk para pembaca memikirkannya sendiri. 


26/02/2014

Institut Wasatiyyah Anjur Seminar Antarabangsa, Pupuk Kefahaman Rakyat


Dalam memastikan masyarakat memahami pendekatan Wasitiyyah yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abd Razak, satu seminar antarabangsa akan dianjurkan oleh Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM).

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdullah Md Zin berkata seminar yang bertajuk ‘Penghayatan Wasatiyyah dalam Kerangka Maqasid Syariah’ itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri dan bakal berlangsung selama 3 hari di Menara Felda bermula dari 8 April 2014.

Menurut Abdullah seminar tersebut akan turut dihadiri oleh para intelektual muslim dari Timur Tenggah bagi membentangkan kertas kerja antaranya Mantan Menteri Wakaf Mesir, Prof Dr Muhammad Abdul Fadhil; Pengarah Pusat Wasatiyyah Islam dan Pembaharuan Al-Qaradhawi Qatar, Prof Dr Muhammad Khalifah Hassan Ahmad Khalifah; Ketua Hakim Syarie Jordan, Prof Dr Ahmad Hulaiyil; Timbalan Menteri Kementerian Wakaf Dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Dr Adil Abdullah Al-Fallah dan Timbalan Rektor Universiti Islam Madinah Arab Saudi, Prof Dr Mahmod Abdul Rahman Qadah.

Beberapa tokoh dan ilmuwan dari dalam negara turut akan dijemput sebagai moderator dan membentangkan kertas kerja antaranya Pengarah Perancangan Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Haji Shahlan Ismail; Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Ketua Dewan Ulama ISMA, Dr Aznan Hassan; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dato Dr Abdul Monir Yaacob; Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Dato Hj Zainul Abu Bakar; Pengerusi Yayasan Nassar, Tuan Haji Nasharudin Mat Isa dan ramai lagi.

Abdullah turut berkata seminar tahunan yang akan diadakan itu nanti antara lainnya bertujuan mengukuhkan kefahaman masyarakat tentang kepentingan maqasid syariah sebagai asas penyelesaian permasalahan umat.

“Ia juga untuk menyokong dan menyemarakkan kefahaman Wasatiyyah dalam pelbagai bidang bagi memberi sumbangan terhadap pembangunan negara serta memperkasakan Malaysia sebagai peneraju pendekatan Wasatiyyah di peringkat serantau dan antarabangsa” katanya.

Menurut Abdullah, beliau mengharapkan seminar antarabangsa yang bakal dianjurkan itu bakal menjadi pemangkin kepada usaha untuk melebarkan kefahaman dan pendekatan wasatiyyah kepada masyarakat.

Selain Felda sebagai penaja utama, seminar yang dianjurkan itu juga turut mendapat kerjasama beberapa NGO seperti Sekretariat Islam Nusantara (Sutera), Persatuan Generasi Bestari (G-Best), dan portal MyKMU.net.


21/02/2014

Azmin Masih Sayangkan UMNO

Ramai yang agak sinikal dengan dakwaan berhubung kemelut dalaman antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim. Para penyokong parti itu sebelum ini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'perang saraf' Umno yang sengaja dilakukan.

Namun bagi penyokong Azmin dan Khalid, perkara itu bukan lagi isu rahsia, kerana ada di kalangan mereka sendiri yang turut memainkan peranan untuk menyerang dan londeh-melondeh antara satu sama lain.

Terdahulu, akhbar Suara Keadilan yang merupakan lidah rasmi kepada parti itu telah menyiarkan rencana yang menghentam Azmin secara terbuka. Artikel yang ditulis oleh Hishamuddin Rais itu telah disiarkan oleh akhbar tersebut pada keluaran 160, bertarikh 11 Februari 2014 di muka surat 22. Pada tarikh yang sama, artikel tersebut turut disiarkan oleh portal Malaysiakini yang juga merupakan media tidak rasmi kepada pembangkang.

Hishamudin di dalam artikel yang bertajuk 'Khalid dan Azmin' itu antara lainnya melabelkan Azmin sebagai pemimpin PKR yang mempunyai unsur dan ideologi Umno sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pimpinan parti termasuklah dari Pas dan DAP.

"Hanya PAS dan DAP sahaja yang dapat menjawab kenapa mereka merasa tidak yakin terhadap si Azmin… Dalam masa yang sama Azmin Ali yang tidak diyakini ini berpangkat Timbalan Presiden PKR.

"Mungkin PAS dan DAP juga menyedari dan terpengaruh apabila mengetahui bahawa sosok yang bernama Azmin Ali ini tidak diminati ramai dalam PKR sendiri. Azmin Ali disurahkan sebagai pemilik DNA - United Malays National Organisation. Azmin disurahkan sebagai sedang membawa budaya gerombolan 'lanun Melayu' ke dalam badan politik PKR", dakwanya.

Hishamudin yang merupakan antara penyokong kuat Anwar itu turut mengatakan, disebabkan Azmin membawa DNA barah, dia adalah antara punca berlakunya masalah di Selangor dan PKNS sehingga MEMAKSA campur tangan Anwar.

"Dalam masa yang sama kisah Azmin dan duit ini masuk akal juga. Untuk pengundi di Gombak atau di Seri Setia – mereka tertanya-tanya kenapa si Azmin ini gila-gila sangat nak jadi MB Selangor? Kenapa begitu gian hendak jadi MB? Tidak cukupkan menjadi Adun dan YB Parlimen Gombak? Kalau ingin membantu rakyat, kalau mahu menolong warga miskin apakah perlu menjadi MB? Soalan-soalan ini telah berdengung di semua kepala yang berfikir. Macam ada Cukong di sebalik Gombak.

"Mari kita lihat perangai Azmin semenjak selesai PRU13 dahulu. Apabila rakyat bangun membantah penipuan PRU13 – Si Azmin Ali ini baling sepana. Azmin memberi ingatan agar orang ramai TIDAK dibawa ke jalan raya. Twiter Azmin yang mempertikaikan langkah turun ke jalan raya untuk membantah penipuan PRU13. Isi Twiter si Azmin ini jelas bersifat 'sabotaj'. Ini ciri dan watak DNA United Malays National Organisation" dakwa Hishamudin lagi.

Disebabkan artikel tersebut disiarkan dalam akbar terbitan Suara Keadilan, para penyokong PKR khusus 'orang-orang' Azmin mula bising dan mempertikaikan tindakan tersebut. Sehinggakan ada yang mendakwa ia adalah merupakan permainan politik murahan dan kotor serta sebahagian dari usaha Anwar dan Wan Azizah untuk 'membunuh'  karier politik Azmin.

Mungkin bagi mengelakkan serangan balas dari kumpulan Azmin yang mungkin akan melakukan sabotaj terhadap Anwar di pilihan raya kecil Kajang, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil segera membuat kenyataan bagi menafikan dakwaan tersebut.

Menurutnya PKR tidak terlibat dalam penyiaran artikel tersebut dan keputusan untuk menyiarkannya di dalam akhbar rasmi parti adalah merupakan keputusan pihak editorial Suara Keadilan. Namun, Fahmi mengakui isu tersebut ada dibincangkan kerana wujudnya bantahan daripada beberapa pemimpin yang dikaitkan nama dalam artikel tersebut.
Sent from my BlackBerry® smartphone

20/02/2014

Myanmar Pula Jadi pengundi Hantu

Nampaknya setiap kali tibanya musim pilihan raya baik umum (PRU), negeri (PRN) mahupun kecil (PRK) pembangkang seolah-olah telah kehabisan modal apabila sering membangkitkan isu pengundi hantu.

Jika sebelum ini, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim cuba membakar sentimen kemarahan rakyat dengan membangkitkan isu 40,000 pengundi hantu, kini anak saudaranya, Badrul Hisham Shaharin turut dilihat cuba menggunakan isu yang sama.

Mungkin kerana khuatir Anwar ditolak oleh majoriti pengundi di Kajang, Badrul mendakwa ribuan warga asing dari Myanmar di kesan berada di Kajang.

“Apakah ianya satu kebetulan apabila ribuan warga asing dipercayai warga Myanmar hadir ke Kajang dengan beg besar seolah-olah baru masuk ke negara melalui KLIA” ujar anak saudara kepada Anwar itu.

Anwar sebelum ini ibarat ‘cacing kepanasan’ apabila GAGAL membuktikan fitnah yang dilemparkan kononnya seramai 40,000 warga Bangladesh telah mengundi Barisan Nasional (BN) dalam PRU yang lalu.

Antara hujah yang digunakan ialah, kononnya ada di kalangan ‘pengundi bangla’ yang ditangkap itu tidak tahu menyanyikan lagu negaraku dan sebagainya. Namun apa yang lebih memalukan, ada di kalangan ‘pengundi bangla’ yang ditangkap itu adalah merupakan ahli parti itu sendiri.

Dia juga berulang kali memainkan isu ’40,000 pengundi Bangla’ di sepanjang kempen ‘Black 505’ bagi meminta rakyat menyokong desakan untuk menolak keputusan PRU-13. Namun apabila himpunan tersebut GAGAL menarik sokongan seperti yang diharapkan.

Tidak tahan dengan asakan yang mencabarnya untuk membuktikan fitnah yang dilemparkan itu, Anwar akhirnya terpaksa membuat ‘pusingan u-turn’ dengan menafikan dia pernah membangkitkan isu tersebut.

"Tuduhan tersebut sengaja diadakan dan cuba diputarbelitkan oleh penulis blog Umno," katanya dalam satu sidang media di Parlimen sebelum ini.

Perdana Menteri ketika mengulas kenyataan Anwar itu mengatakan, beliau memiliki bukti Ketua Pembangkang itu pernah membuat dakwaan sedemikian menerusi teks ceramah dan juga daripada media-media pro pembangkang.

‘‘Saya dengar ucapan dia, saya banyak sumber yang dengar ucapan dia, (tetapi sekarang ini) dia nak nafikan pula.

‘‘Tetapi muka depan akhbar Suara Keadilan ada (tulis) tentang 40,000 Bangladesh itu, ucapan dia (Anwar) juga sindir kepada kita bahawa rakyat tidak sokong kita, yang sokong adalah rakyat Bangladesh dan Filipina,"

“Apabila saya kata 40,000 warga Bangladesh itu tidak betul, tidak ada bukti, Perdana Menteri Bangladesh pun kata (tuduhan) itu tidak mungkin, dia (Anwar) pusing kata bahawa dia tidak kata begitu”, katanya sebelum ini ketika mengulas kenyataan ‘u-turn’ Anwar.

Kesimpulannya isu warga asing ini sengaja diwujudkan agar dapat dijadikan modal untuk menimbulkan persepsi di kalangan rakyat. Sekiranya sebelum ini rakyat Bangladesh dijadikan mangsa, kini tiba giliran warga Myanmar pula dijadikan sebagai korban.

Mungkin kerana takut ditertawakan oleh rakyat, sekiranya dia membangkitkan semula isu pengundi hantu ini, maka jalan terbaik adalah menggunakan ‘anak saudaranya’ sebagai kambing hitam dan persediaan sekiranya GAGAL mempertahankan kerusi Dun Kajang.

Dengan cara ini, mungkin Anwar boleh menutup malu dengan mengatakan ’40,000 ribu pengundi Myanmar’ adalah punca kekalahannya di Dun Kajang.


Kassim Ahmad Antara Menolak Hadith dan Memanipulasi Ayat Al-Quran

Kassim Ahmad adalah antara personaliti yang paling kontroversi di Malaysia kerana pemikirannya yang berbeza dengan majoriti umat Islam di negara ini.   Beliau dituduh sebagai jahil, sesat malah ada yang menganggap beliau kafir.   Buku beliau iaitu ‘Hadith: Satu Penilaian Semula’ telah diharamkan oleh Majlis Fatwa pada tahun 1986. 

Nama Kassim Ahmad kembali diperkatakan sejurus selepas seminar ‘Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Halatuju Negara Tiga Puluh Tahun Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 16 Februari lalu.  Kehadiran beliau di atas pentas yang begitu sinonim dengan Tun Mahathir, memberi impak yang begitu besar bagi masyarakat Melayu-Islam-Malaysia. 

Keterbukaan Tun Mahathir terhadap Kassim Ahmad dijadikan isu bagi menuduh beliau sebagai turut sesat.   Dengan publisiti yang dibawa oleh nama Tun Mahathir dan Kassim Ahmad, maka berlumba-lumbalah orang ramai cuba membuktikan mereka yang lebih ‘alim’ dengan mengecam dan menghukum Kassim Ahmad. 

Pihak yang mewakili agama Islam juga pantas mengingatkan kita semua tentang bahaya Kassim Ahmad serta ‘hukuman’ yang datang bersamanya.  Niat mereka tentulah murni sekali, iaitu untuk memastikan umat Islam tidak dipesongkan oleh Kassim Ahmad. 

Hakikat bahawa Tun Mahathir membuka peluang kepada Kassim Ahmad untuk berkongsi pemikirannya dengan orang ramai dan juga peluang kepada para ulama untuk mengecam beliau, menunjukkan yang Negarawan tersebut telah melihat kematangan di kalangan umat Islam. 

Tun Mahathir tidak mungkin akan bersetuju dengan program sebegini sekiranya beliau tidak percaya yang umat Islam di negara ini telah bersedia untuk berhadapan dengan asakan dari pihak yang berbeza pendapat dengan mereka.   

Bagi yang mengenali Tun Mahathir, kita cukup arif yang beliau amat tegas dalam perihal yang berkaitan akidah Islam.  Beliau difahamkan pernah menghulurkan bantuan dalam bentuk misi khas sulit kepada warga Malaysia semata-mata untuk menyelamatkan akidah anak-anak individu yang terbabit. 

Kepercayaan Tun Mahathir bahawa umat Islam di Malaysia telah cukup matang untuk berhadapan dengan Kassim Ahmad, ternyata tidak meleset.  Berikutan dari program tersebut, kita melihat begitu ramai anak muda yang cuba memahami dan mengupas hujah-hujah Kassim Ahmad dan juga ‘hukuman’ terhadapnya oleh para Ulama.  Secara dasarnya, anak-anak muda yang mengikuti program itu menjadi lebih terbuka dan berani berfikir dengan lebih kritis tanpa dipengaruhi emosi. 

Oleh itu, penulis melihat bahawa program sebegini mampu memecah kejumudan dan membina umat Islam yang lebih bijak dan relevan dalam arus kemodenan dunia. 

Penulis juga punya pendapat sendiri mengenai pemikiran Kassim Ahmad, tetapi pendapat penulis tidak penting di sini kerana ia tidak semestinya benar, seperti juga yang diakui oleh Kassim Ahmad iaitu yang benar itu hanyalah Allah SWT. 

Justeru, selagi Kassim Ahmad menyembah Allah Yang Esa dan menerima Muhammad SAW sebagai Rasulullah walaupun enggan mengiktiraf ketinggian darjat Baginda dalam konsep iman, maka penulis tiada hak untuk menilai keIslaman Kassim Ahmad, apatah lagi menghukum beliau. 

Apa yang pelik di sini ialah, dalam umat Islam begitu takut dengan pandangan Kassim Ahmad yang menolak hadith, mereka tidak pula takut dengan pandangan ulama-ulama yang memesongkan ayat-ayat Al-Quran. 

Walhal, ayat yang ditolak masih boleh saja diambil semula dalam keadaan yang elok tetapi ayat yang telah dimanipulasi, dibelit dan diambil separuh-separuh akan merosakkan keseluruhan pemahaman. 

Perlu diingatkan bahawa Kassim Ahmad tidak pernah meletakkan diri beliau sebagai ulama dan oleh itu, segala apa kenyataan beliau kalau pun benar sesat, tidak akan membawa kerosakan kepada masyarakat kerana beliau bukan sumber rujukan.  Kassim Ahmad juga tidak pernah menghukum orang lain sebagai kafir serta menerima baik sebarang pendapat berlainan.  Justeru, walaupun beliau menolak hadith, beliau tidak menyebabkan perpecahan. 

Berbeza dengan para Ulama yang gemar memperalatkan ayat-ayat AlQuran dan hadith demi keuntungan politik.  Mereka ini amat gemar menilai dan menghukum orang lain sepertimana yang dilakukan mereka terhadap Kassim Ahmad.  Sebagai individu yang bergelar ulama, maka setiap kata-kata mereka menjadi rujukan dan diterima sebagai benar.  Akibatnya, pada satu masa, tindakan Ulama-ulama ini memanipulasi ayat-ayat AlQuran telah menyebabkan pertumpahan darah sepertimana yang berlaku dalam peristiwa Memali dan Sauk. 

Penulis bukan membela Kassim Ahmad mahupun mengkritik Ulama tetapi sekadar menyatakan kejelekan yang berlaku di negara ini.   Hari ini, kita menghukum orang yang menolak hadith tetapi menerima orang yang memanipulasi ayat Al-Quran.  Kita takut akan kesesatan yang dibawa dengan menolak hadith tetapi kita tidak takut dengan kesesatan yang dibawa melalui manipulasi ayat Al-Quran sedangkan kedua-duanya mampu membawa akibat buruk dari segi akidah mahupun perpaduan ummah. 

Kita memejamkan mata terhadap kesesatan yang dibawa oleh orang yang bergelar ulama sedangkan ajaran beliau terbukti telah membawa kepada pertumpahan darah.  Di masa yang sama, kita mengecam dan menghukum orang yang bukan pun seorang Ulama dan belum terbukti pernah menyebabkan apa-apa kerosakan di kalangan ummah, seolah-olah beliau adalah lambang segala kejahatan dan tidak dapat dimaafkan lagi. 

Soalnya, kenapa kita perlu bersikap dwistandard?  Kenapa perlu memilih kesesatan mana yang boleh dimaafkan dan mana yang tidak?  Apakah hanya kerana kesesatan itu dibawa oleh orang yang berjubah dan bergelar ulama maka ia perlu diberi pertimbangan dan mereka yang berimej ‘sekular’ sahaja yang perlu dikecam? 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...