Kassim Ahmad adalah antara personaliti yang paling kontroversi di
Malaysia kerana pemikirannya yang berbeza dengan majoriti umat Islam di negara
ini. Beliau dituduh
sebagai jahil, sesat malah ada yang menganggap beliau kafir. Buku beliau iaitu ‘Hadith: Satu
Penilaian Semula’ telah diharamkan oleh Majlis Fatwa pada tahun 1986.
Nama Kassim Ahmad kembali diperkatakan sejurus selepas seminar
‘Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Halatuju Negara Tiga Puluh Tahun
Akan Datang’ di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 16 Februari lalu. Kehadiran beliau di atas pentas yang
begitu sinonim dengan Tun Mahathir, memberi impak yang begitu besar bagi
masyarakat Melayu-Islam-Malaysia.
Keterbukaan Tun Mahathir terhadap Kassim Ahmad dijadikan isu bagi
menuduh beliau sebagai turut sesat. Dengan publisiti yang dibawa oleh nama
Tun Mahathir dan Kassim Ahmad, maka berlumba-lumbalah orang ramai cuba
membuktikan mereka yang lebih ‘alim’ dengan mengecam dan menghukum Kassim
Ahmad.
Pihak yang mewakili agama Islam juga pantas mengingatkan kita
semua tentang bahaya Kassim Ahmad serta ‘hukuman’ yang datang bersamanya. Niat mereka tentulah murni sekali,
iaitu untuk memastikan umat Islam tidak dipesongkan oleh Kassim Ahmad.
Hakikat bahawa Tun Mahathir membuka peluang kepada Kassim Ahmad
untuk berkongsi pemikirannya dengan orang ramai dan juga peluang kepada para
ulama untuk mengecam beliau, menunjukkan yang Negarawan tersebut telah melihat kematangan
di kalangan umat Islam.
Tun Mahathir tidak mungkin akan bersetuju dengan program sebegini
sekiranya beliau tidak percaya yang umat Islam di negara ini telah bersedia
untuk berhadapan dengan asakan dari pihak yang berbeza pendapat dengan mereka.
Bagi yang mengenali Tun Mahathir, kita cukup arif yang beliau amat
tegas dalam perihal yang berkaitan akidah Islam. Beliau difahamkan pernah menghulurkan
bantuan dalam bentuk misi khas sulit kepada warga Malaysia semata-mata untuk
menyelamatkan akidah anak-anak individu yang terbabit.
Kepercayaan Tun Mahathir bahawa umat Islam di Malaysia telah cukup
matang untuk berhadapan dengan Kassim Ahmad, ternyata tidak meleset. Berikutan dari program tersebut, kita
melihat begitu ramai anak muda yang cuba memahami dan mengupas hujah-hujah
Kassim Ahmad dan juga ‘hukuman’ terhadapnya oleh para Ulama. Secara dasarnya, anak-anak muda yang
mengikuti program itu menjadi lebih terbuka dan berani berfikir dengan lebih
kritis tanpa dipengaruhi emosi.
Oleh itu, penulis melihat bahawa program sebegini mampu memecah
kejumudan dan membina umat Islam yang lebih bijak dan relevan dalam arus
kemodenan dunia.
Penulis juga punya pendapat sendiri mengenai pemikiran Kassim
Ahmad, tetapi pendapat penulis tidak penting di sini kerana ia tidak semestinya
benar, seperti juga yang diakui oleh Kassim Ahmad iaitu yang benar itu hanyalah
Allah SWT.
Justeru, selagi Kassim Ahmad menyembah Allah Yang Esa dan menerima
Muhammad SAW sebagai Rasulullah walaupun enggan mengiktiraf ketinggian darjat
Baginda dalam konsep iman, maka penulis tiada hak untuk menilai keIslaman
Kassim Ahmad, apatah lagi menghukum beliau.
Apa yang pelik di sini ialah, dalam umat Islam begitu takut dengan
pandangan Kassim Ahmad yang menolak hadith, mereka tidak pula takut dengan
pandangan ulama-ulama yang memesongkan ayat-ayat Al-Quran.
Walhal, ayat yang ditolak masih boleh saja diambil semula dalam
keadaan yang elok tetapi ayat yang telah dimanipulasi, dibelit dan diambil
separuh-separuh akan merosakkan keseluruhan pemahaman.
Perlu diingatkan bahawa Kassim Ahmad tidak pernah meletakkan diri
beliau sebagai ulama dan oleh itu, segala apa kenyataan beliau kalau pun benar
sesat, tidak akan membawa kerosakan kepada masyarakat kerana beliau bukan
sumber rujukan. Kassim
Ahmad juga tidak pernah menghukum orang lain sebagai kafir serta menerima baik
sebarang pendapat berlainan. Justeru,
walaupun beliau menolak hadith, beliau tidak menyebabkan perpecahan.
Berbeza dengan para Ulama yang gemar memperalatkan ayat-ayat
AlQuran dan hadith demi keuntungan politik. Mereka ini amat gemar menilai dan
menghukum orang lain sepertimana yang dilakukan mereka terhadap Kassim Ahmad. Sebagai individu yang bergelar
ulama, maka setiap kata-kata mereka menjadi rujukan dan diterima sebagai
benar. Akibatnya, pada satu
masa, tindakan Ulama-ulama ini memanipulasi ayat-ayat AlQuran telah menyebabkan
pertumpahan darah sepertimana yang berlaku dalam peristiwa Memali dan
Sauk.
Penulis bukan membela Kassim Ahmad mahupun mengkritik Ulama tetapi
sekadar menyatakan kejelekan yang berlaku di negara ini. Hari ini, kita menghukum orang yang
menolak hadith tetapi menerima orang yang memanipulasi ayat Al-Quran. Kita takut akan kesesatan yang dibawa
dengan menolak hadith tetapi kita tidak takut dengan kesesatan yang dibawa
melalui manipulasi ayat Al-Quran sedangkan kedua-duanya mampu membawa akibat
buruk dari segi akidah mahupun perpaduan ummah.
Kita memejamkan mata terhadap kesesatan yang dibawa oleh orang
yang bergelar ulama sedangkan ajaran beliau terbukti telah membawa kepada
pertumpahan darah. Di masa
yang sama, kita mengecam dan menghukum orang yang bukan pun seorang Ulama dan
belum terbukti pernah menyebabkan apa-apa kerosakan di kalangan ummah,
seolah-olah beliau adalah lambang segala kejahatan dan tidak dapat dimaafkan
lagi.
Soalnya, kenapa kita perlu bersikap dwistandard? Kenapa perlu memilih kesesatan mana
yang boleh dimaafkan dan mana yang tidak? Apakah hanya kerana kesesatan itu
dibawa oleh orang yang berjubah dan bergelar ulama maka ia perlu diberi
pertimbangan dan mereka yang berimej ‘sekular’ sahaja yang perlu dikecam?
No comments:
Post a Comment