Dalam kenyataannya, Mujahid menegaskan bahawa PAS tidak boleh berdiam diri apabila orang
Kristian di Malaysia terus dicerca.
Artikel di beberapa portal dan blog pembangkang turut membawa
tajuk yang sama iaitu “PAS Will Not Keep Silent As Christians
Bashed”. Antara
kandungan artikel-artikel tersebut adalah puji-pujian orang-orang Kristian
terhadap Mujahid atas
mesejnya yang jelas membenarkan Kristian menggunakan nama ‘Allah’.
Nampaknya, pendirian PAS mengenai kalimah Allah masih belum
jelas. Beberapa tahun
lepas, PAS begitu beria-ia menempelak UMNO kerana menghalang penyebaran Injil
berbahasa Melayu di semenanjung. Menurut
PAS, UMNO gagal mengamalkan toleransi agama kerana menghalang orang-orang
Kristian berdakwah. Untuk
itu, PAS berdiri teguh di belakang, dan kadangkala di hadapan DAP dan
Padri-padri Kristian, mengutuk UMNO.
Apabila isu ini kembali hangat di mahkamah, pendirian PAS
mengenainya mula berubah-rubah dan berbeza-beza antara satu pemimpin dengan
pemimpin lain. Isu Kalimah
‘Allah’ di dalam Injil kemudiannya semakin hangat ekoran pihak gereja mengambil
sikap degil enggan akur dengan perintah mahkamah yang menghalang penggunaan
nama Allah bagi menggantikan ‘Tuhan’ di dalam Injil berbahasa Melayu di
semenanjung. Serbuan JAIS
ke gereja yang terlibat menjadikan api yang sebelumnya bersifat setempat, mula
merebak.
Perlu diingatkan bahawa setahun yang lalu, iaitu pada 1 Mac 2013,
Nik Aziz dilaporkan bersetuju Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam
Injil. Pendirian Nik Aziz
pada waktu itu mendapat pujian dari Bishop Dr. Paul Tan Chee dalam menyatakan
kekesalan beliau terhadap Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengambil pendirian
bertentangan.
Bagaimanapun, pada 25 Januari tahun ini, kenyataan Nik Aziz
mengenai isu ini berbeza pula. Kali
ini, beliau tidak setuju Kristian menggunakan nama ‘Allah’ di dalam Injil
berbahasa Melayu.
Alhamdulillah, setakat ini, Nik Aziz belum lagi membuat sebarang
pusingan U atau membelok ke mana-mana dalam memperkatakan isu ini.
Justeru, bolehlah
dianggap bahawa Nik Aziz turut bersetuju dengan UMNO dan mahkamah bahawa
Kristian tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam Injil berbahasa
Melayu.
Malangnya, nampaknya kenyataan Nik Aziz sudah tidak laku lagi
walaupun di kalangan pemimpin bawahan PAS sendiri. Jika tidak, mana mungkin Mujahid
berani ke hulu ke hilir membela Kristian menggunakan nama ‘Allah’ di dalam
Injil.
Malah, untuk tujuan itu, Mujahid bukan saja ‘rajin’ ke gereja,
malah beliau turut tampil menjadi barisan hadapan untuk membela dan mempertahankan
Kristian bermati-matian. Mujahid sungguh-sungguh tidak rela Kristian
‘dicerca’.
Pelik sekali kerana Mujahid tidak pula tampil membela Islam
sedemikian rupa apabila Namewee mempermainkan azan, ataupun Alvivi menghina
Ramadan. Mujahid juga tidak
peduli jika pemimpin-pemimpin DAP menyalahgunakan ayat-ayat Al-Quran bagi
mengaut keuntungan politik di kalangan orang-orang PAS. Mujahid juga tidak kisah jika tentera
siber DAP menghina Rasulullah SAW
dan juga Allah SWT sesuka hati mereka.
Mungkin bagi Mujahid, biar Islam dicerca, tetapi Kristian jangan
sekali.
Penulis enggan menulis panjang mengenai perkara ini. Cukuplah dengan memaparkan segala
fakta ini untuk para pembaca memikirkannya sendiri.
No comments:
Post a Comment