UMNO disaran mewujudkan
majlis ulama UMNO yang peranannya setaraf dengan sayap parti itu atau
menyediakan satu platform khas bagi golongan agamawan untuk membolehkan mereka
bersuara dalam membantu perjuangan parti terbesar orang Melayu itu.
Pengerusi Badan
Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berpendapat,
penubuhan majlis itu bagi memastikan perjuangan UMNO dalam menegakkan Islam
berada di landasan betul.
Beliau berkata, ia juga
dapat menangkis segala tuduhan dan tohmahan liar yang dilemparkan parti
pembangkang khususnya Pas bahawa UMNO sentiasa meminggirkan golongan agama.
"Saya cukup yakin
dengan penubuhan majlis ulama ini atau satu platform khas untuk golongan
agamawan ini akan mewujudkan keseimbangan dan meyakinkan rakyat untuk kembali
memilih UMNO serta mengekalkan parti itu pada pilihan raya umum akan
datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas
kenyataan Pertubuhan Ilmuwan Malaysia yang menyokong penuh cadangan agar UMNO
diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama bagi bersama-sama parti
itu demi masa depan Islam dan Melayu.
Penasikat Eksekutif
pertubuhan itu, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, cadangan
itu wajar diperhalusi dan dipertimbangkan kerana dilihat sejajar dengan agenda
transformasi parti yang sedang diusahakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Sebelum ini, Menteri
Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO memberi ruang kepada
golongan agama untuk bersama-sama menerajui parti itu.
Mengulas lanjut, Mohd.
Syamsul yang menyokong kenyataan Fathul Bari itu berkata, penglibatan lebih
serius golongan agama dalam UMNO turut diyakini dapat mengangkat imej parti
tersebut dalam kalangan rakyat yang selama ini hanya melihat Pas yang menjuarai
isu-isu agama.
"Sedangkan UMNO
sendiri sudah memperjuangkan agama sebagaimana termaktub dalam perlembagaannya,
cuma orang agama dilihat tidak diberi tempat sewajarnya dalam parti,"
katanya.
Sementara itu, aktivis
Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berpendapat,
ketika ini golongan agama terutama ustaz-ustaz muda amat kurang diberi tempat
dalam parti sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri.
Justeru katanya,
cadangan supaya golongan agama diberi peranan lebih besar dalam parti UMNO
perlu dipertimbangkan kerana ia sebenarnya merupakan proses 'ulang kembali'
peranan ulama dalam UMNO yang telah wujud sebelum ini tetapi 'diketepikan'
sehingga membawa kepada penubuhan Pas.
"Saya menyokong
golongan agama diberi ruang supaya transformasi UMNO benar-benar menguntungkan
orang Melayu dan Islam. Selain itu, untuk meremajakan UMNO, maka parti kena
sedia platform khas kepada golongan agama ini tanpa melibatkan pemilihan atau
pertandingan," katanya.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment