Dengan penetapan tarikh ini bermakna ia akan menyemarakkan lagi bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan kempen perang bendera akan memasuki fasa yang lebih meriah sementara menantikan hari penamaan calon dan pengundian.
Namun demikian belum pun tiba tarikh-tarikh itu, suasana politik semasa sudah agak hangat apabila sana sini ramai pemimpin politik khususnya dari PR sibuk bercakaran sesama sendiri kerana merebutkan kawasan yang ingin ditandingi.
DAP yang merupakan abang besar dalam PR semakin berani menerjah kawasan yang sepatutnya ditandingi oleh PKR, PAS yang terasa dipijak-pijak selama ini mula menonjolkan belangnya menuntut diri dihormati. PKR yang terasa besar dari yang lain makin terasa cabaran rakan-rakan sepakatan.
Kebanyakan kawasan yang direbut dianggap selamat dan bakal membawa pemimpin PR menuju puncak, tapi hakikat kawasan yang sama boleh berubah menjadi kubur besar untuk mereka tak pula terdetik di hati sesiapa.
Tak berapa lama dulu, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim pernah mengisytiharkan lebih 90% nama-nama calon PR sudah selesai. Tapi hakikat yang berlaku gayanya seperti 10% sahaja yang benar-benar sudah muktamad dan baki 90% lagi masih berkecamuk berebut sesama sendiri.
Seandainya benar sudah wujud persetujuan yang kononnya sudah dicapai dan dimuktamadkan, maknanya kini ia sengaja dilanggar gara-gara kehendak nafsu masing-masing yang semakin menggila. Macam ini punya gaya jangan diharap PR mampu mentadbir negara dengan sebaiknya.
Dari utara sampai ke selatan, dari timur ke barat, masing-masing parti dalam PR sibuk bertelagah sesama sendiri, kerana apa?. Tak lain tak bukan kerana setiap parti dalam PR merasakan inilah masanya untuk menuju puncak dengan menaruh harapan bahang tsunami PRU 12 2008 dulu akan berterusan.
Para penyokong yang dulunya mengharap pada PR kini tambah meluat melihat keangkuhan dan sikap tamak yang menguasai pimpinannya. Baru diuji sedikit kuasa sudah pandai lupa diri.
DAP, PKR dan PAS sudah lupa hakikat letak duduknya mereka saat ini bukannya atas kekuatan sendiri. Mereka lupa setiap yang naik mendadak jatuhnya akan merudum cepat menyembah bumi.
Jika diamati corak dan trendnya, PRU13 bukan lagi satu gelanggang yang menjanjikan keuntungan untuk PR. Ia jauh berbeza dengan suasana PRU 12 yang lalu. Kecenderungan pengundi Melayu Islam dan India kini ternyata lebih solid bersama BN.
Pengundi Cina yang dianggap deposit PR kini sedang dalam persimpangan dilema, tanpa sokongan majoriti Melayu Islam dan India kepada PR ia ibarat pertaruhan yang berisiko tinggi - untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Justeru itu tak mustahil, PRU13 akan menyaksikan ramai pemimpin PR yang mendadak naik dulu bakal jatuh terhumban. Sekiranya ini menjadi realiti, maka PRU13 bakal mencatat rekod sebagai kubur besar untuk pimpinan pembangkang.
Sent from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment