Azizan

Keadaan Azizan (duduk) yang kelihatan ceria ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Pas Kedah.
ALOR SETAR - Spekulasi Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bakal digantikan kembali diperkatakan kebelakangan ini ekoran masalah kesihatan yang dialaminya.
Memetik laporan sebuah portal berita, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu mengesahkan, kemungkinan Azizan digantikan sekiranya ada calon yang sesuai dikenalpasti.
Difahamkan, pemimpin Pas Pusat sudah mengadakan beberapa perbincangan untuk mencari calon sesuai menggantikan Azizan.
Sebuah laman blog (Kedah Ke KL) pula mendakwa, masalah kesihatan Azizan dijadikan alasan oleh pemimpin Pas yang berpengaruh untuk menyingkirkan Azizan daripada jawatan Menteri Besar, manakala sebuah blog (Unit Media Kedah) melaporkan Azizan kini dikelilingi pemimpin yang mahukan jawatan beliau termasuk Exco Kerajaan Negeri.
Mengulas perkara itu, pemimpin Pas kanan yang juga Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul menafikan spekulasi itu, selain menyifatkan ianya hanya khabar angin.
“Tidak ada perbincangan dibuat oleh pemimpin Pas Kedah mahupun Pusat untuk gantikan Azizan dengan pemimpin lain. Saya juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pemimpin Pusat berkenaan perkara itu,” katanya.
Menurutnya, keyakinan yang ditunjukkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika mengunjungi Azizan di hospital baru-baru ini, menepis spekulasi terbabit, di mana Azizan dikatakan masih mampu menerajui Kedah.
“Mustafa sendiri akui Azizan mampu mempengerusikan mesyuarat penting walaupun diadakan di hospital. Ini bermakna Azizan masih mampu terajui Kedah walaupun masih dalam proses rawatan,” katanya.
Mohamed Taulan berkata, Azizan perlu mendapat rehat secukupnya tanpa gangguan. Keadaan ini perlu bagi membolehkan beliau pulih dengan cepat dan kembali bertugas secara rasmi.
“Keadaan Azizan semakin baik, beliau bukan sahaja hadir pada Rumah Terbuka Pas Kedah Sabtu lalu, malah dijadualkan mempengerusikan mesyuarat Exco esok, (Rabu, 5 September) ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun keadaan Azizan semakin positif, namun hanya saudara terdekat dan pegawai kanan Azizan dibenarkan berjumpa dengannya.
“Saya sendiri belum berjumpa Azizan sejak beliau dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC),” katanya.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Mohamad Helmi Mohd Khalid ketika dihubungi, mengesahkan mesyuarat Exco yang dijadualkan esok akan menjadi perjumpaan rasmi pertama dengan barisan Exco sejak beliau mengalami masalah kesihatan.
“Sejak dimasukkan ke KMC, Azizan tidak dibenarkan menerima kunjungan pelawat bagi membolehkan beliau rehat secukupnya,” katanya.
Azizan dilaporkan berada di KMC sejak 22 Ogos lalu.