Sempena Hari Malaysia dan sambutan Ulangtahun Penipuan Terbesar Anwar Ibrahim iaitu untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September, Pakatan Rakyat mengambil kesempatan untuk meluaskan lagi penipuan dengan menabur janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak melalui satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Kuching.
Deklarasi tersebut ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching. Ia juga turut ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Adam Ahid, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan juga Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.
Menurut PR, deklarasi tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah dan Sarawak serta pembangunan kedua-dua negeri selain sebagai menandakan komitmen Pakatan Rakyat untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
Tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi tersebut adalah:
1. Kerjasama Bersekutu
2. Perwakilan Yang Adil
3. Kewarganegaraan
4. Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat
5. Kecekapan Dan Kemandirian Sarawak Dan Sabah
6. Keadilan Dalam Isu Minyak
7. Pembangunan Sekata
Tidak cukup dengan itu, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dalam ucapannya di Tuaran yang ditujukan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, telah bertindak mengkritik kerajaan pusat kerana ‘meminggirkan’ kedua-dua negeri tersebut sehingga menyebabkan kemiskinan masih lagi berleluasa sedangkan mempunyai sumber alam yang tinggi.
Rakyat Sabah dan Sarawak pasti terhibur mendengar janji-janji PR ini tetapi kita pasti majoriti mereka cukup bijak untuk menilai sesebuah janji berdasarkan rekod si penabur janji. PR boleh berjanji apa saja, bulan bintang, gunung matahari tetapi apakah jaminan bahawa parti ini mampu menunaikan segala janji?
Kita tidak perlu pergi jauh untuk menilai kemampuan PR menunai janji kerana tarikh 16 September itu sendiri sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya mengenai parti tersebut.
16 September bukan sahaja menjadi bukti PR adalah parti penipu kerana Anwar tidak menjadi Perdana Menteri seperti yang dijanjikan, tetapi juga menjadi bukti bahawa ia adalah parti yang tidak punya integriti kerana ingin mengambil alih negara melalui jalan belakang, membelakangkan pilihan rakyat, yakni dengan kaedah merasuah atau membeli pemimpin.
Selain itu, sebelum terbawa-bawa dengan hiburan yang dibawa oleh pemimpin PR di pentas ceramah, rakyat Sabah Sarawak wajar belajar dari rakyat Pulau Pinang yang kini sedang terngadah dahi masing-masing setelah terhantuk kuat dengan janji-janji PR untuk membela mereka. Apa yang nyata kini di Pulau Pinang ialah kerajaan DAP hanya membela golongan yang telah sedia kaya, serta menindas yang lain.
Kampung dirobohkan, tanah dirampas dan perniagaan ditutup atas nama ‘undang-undang’ dan peraturan tanpa mengambil kira kesusahan rakyat yang terlibat. Iaitu satu perkara yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan BN.
Seperti Pulau Pinang, negeri Selangor yang berada di bawah PKR juga menyaksikan harga tanah menjulang tinggi dan pembinaan rumah-rumah kos tinggi dan terlalu tinggi sahaja, semenjak PR mengambil alih. Jelas, satu-satunya golongan rakyat yang mendapat faedah dari keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan PR ialah golongan berpendapatan tinggi dan amat tinggi, terutamanya di kalangan ahli-ahli perniagaan yang berjaya.
Semuanya gara-gara ingin menunjukkan peningkatan dalam rekod pendapatan negeri, tanpa mengambil kira akibatnya kepada rakyat dari golongan sederhana, rendah dan miskin. Justeru, bagaimana rakyat Sabah Sarawak mampu mempercayai yang PR akan membela nasib mereka yang benar-benar memerlukan pembelaan dan bukannya yang telah sedia berjaya?
Keprihatinan yang diluahkan oleh Hadi Awang di dalam ucapannya kepada rakyat Sabah Sarawak juga tidak wajar diambil serius. Ini kerana, negeri yang berada di bawah pemerintahan PAS selama lebih 20 tahun iaitu Kelantan, masih, dan selamanya merupakan negeri paling mundur dengan catatan kemiskinan paling tinggi di Malaysia.
Oleh itu, rasanya adalah lebih afdal jika rakyat Sabah dan Sarawak menyeru Hadi Awang agar membuktikan keprihatinannya kepada rakyat Kelantan dahulu, sebelum menabur janji kepada rakyat negeri lain.
Umum telah sedia maklum bahawa PR memang gemar bermain kata-kata.
Contohnya, ‘menolak dan menentang hudud adalah tidak sama’. Atau ‘bersekongkol dan bekerjasama dengan DAP tidak membawa kepada tindakan yang sama’. Serta yang terbaru dan paling penting untuk diberi perhatian ialah ‘manifesto PR bukan janji’.
Berdasarkan permainan kata-kata ini, apakah kemungkinan yang PR tidak akan berkata bahawa ‘Deklarasi Kuching bukan janji’ sekiranya mereka berjaya memenangi Sabah / Sarawak dalam PRU nanti. Tidak mustahil, seperti juga manifesto mereka, PR hanya menyenaraikan dan mengumumkan perkara-perkara di dalam deklarasi tersebut untuk suka-suka sahaja bagi meraih undi rakyat, tanpa niat pun untuk menunaikannya.
Oleh itu, dengan penipuan, ketidakadilan serta ketidakcekapan PR yang jelas dan nyata dapat dilihat di negeri-negeri yang diperintah mereka, tentulah tidak salah untuk kita berpesan kepada rakyat Sabah dan Sarawak bahawa ‘Bila ianya PR, ia tidak boleh dipercayai.
No comments:
Post a Comment