BERSIH 3.0 benar-benar memakan
diri pembangkang. Sudahlah gagal dari segi jumlah sokongan, mereka juga gagal
memutarbelit fakta untuk menunjukkan keganasan dimulakan oleh polis dan
bukannya perusuh. Akibat gagal, mereka
terpaksa menuduh perusuh yang mengganas itu sebagai polis yang menyamar. Untuk itu, blog-blog, laman web dan
penyokong mereka jenuh berpusing-pusing
cuba menjustifikasikan keganasan yang dilakukan mereka.
Bagi meredakan keadaan, kerajaan
telah mengisytiharkan panel bebas untuk menyiasat BERSIH 3.0 yang kemudiannya
diterima dengan sinis oleh pihak pembangkang.
Pada 12 Mei lalu, DAP mengisytiharkan pemboikotan panel bebas untuk
menyiasat keganasan semasa Perhimpunan Bersih 3.0.
Nampaknya, sudah menjadi sikap
semulajadi DAP di mana setelah membuat tuduhan itu dan ini terhadap musuh-musuh
mereka, mereka akan mendesak agar siasatan dilakukan. Tetapi apabila usaha
untuk menyiasatnya dibuat, mereka akan membuat berbagai helah untuk menolak
atau memboikot panel siasatan dan juga hasil siasatan sekiranya ia tidak
menyebelahi mereka.
Sebelum ini mereka telah membuat
perkara yang sama dalam isu kematian Teoh Beng Hock. Malah, jika diamati, isu BERSIH itu sendiri
juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu menuduh SPR sebagai tidak bersih
dan kemudiannya menafikan semua usaha SPR untuk penambahbaikan.
Jika dalam isu kematian Teoh Beng
Hock, DAP berbuat demikian kerana ingin mengalih dan menutup isu sebenar iaitu
salahguna kuasa dan korupsi ADUN mereka, maka tidak salah kita mengesyaki
taktik yang sama dalam isu BERSIH 3.0 iaitu untuk menutup kesalahan sendiri.
Alasan DAP kali ini ialah mereka
enggan menerima perlantikan Tun Mohammad Hanif Omar sebagai ketua panel
siasatan, atas alasan beliau mengambil pendirian yang partisan terhadap Bersih
dengan mendakwa bahawa golongan pro-komunis telah terlibat serta menyokong
dakwaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah
cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
Walaubagaimanapun, dalam menuduh
Tun Hanif sebagai partisan, DAP pula mencadangkan pihak yang tidak kurang
bersifat partisan seperti Suhakam. DAP
juga menyokong pandangan Majlis Peguam Malaysia bahawa panel siasatan
kekurangan rangka kerja perundangan dan tidak mengurniakan imuniti
undang-undang kepada mereka yang terlibat dalam prosiding serta kekurangan
kuasa undang-undang untuk memberi sepina kepada saksi-saksi atau menuntut
dokumen-dokumen.
Sedangkan sudah menjadi
pengetahuan umum bahawa Suhakam dan Majlis Peguam adalah dua badan yang tidak
pernah bertindak adil, sentiasa berat sebelah, tidak professional serta penuh
putar-belit demi untuk membela pihak penentang undang-undang dan kerajaan. Kedua-duanya juga diragui mempunyai hubungan
dengan anasir luar serta disyaki menerima dana asing.
Justeru, jika kita perlu memilih
antara dua pihak yang berpartisan, bukankah lebih baik kita memihak kepada Tun
Hanif yang terbukti seorang yang berjasa pada negara, tidak berat sebelah,
bersifat patriotik dan amat professional selama perkhidmatan beliau dalam
menjaga keselamatan kita semua.
Kita tidak faham kenapa DAP perlu
meragui Tun Hanif tetapi memberi kepercayaan kepada Suhakam dan mendengar cakap
Majlis Peguam? Sedangkan Majlis Peguam
sendiri terbukti telah menyembunyikan fakta sebenar tentang keganasan BERSIH
3.0 sepertimana yang didedahkan oleh peguam Ranjit Singh Dhillon di
Youtube.
Pendedahan itu pula disokong
dengan tindakan saman oleh seorang ahli Majlis Peguam iaitu Mohd. Khairul Azam
Abdul Aziz yang mendakwa Majlis Peguam telah gagal sama sekali bertindak
sebagai badan yang professional apabila dalam tempoh kurang lima jam mesyuarat
untuk memutuskan resolusi BERSIH 3.0, telah memaparkan dengan jelas terlibat
dalam ciri-ciri skandal pembohongan, bias, berada dalam kedudukan yang diragui
serta banyak lagi. Jelas di sini, pihak yang dirujuk dan disokong oleh DAP amat
tidak boleh dipercayai.
Sikap DAP yang suka memihak
kepada penjenayah, perusuh dan mereka yang melanggar undang-undang amatlah dikesalkan. Dengan itu, salahkah kita menyatakan bahawa
DAP sebenarnya takut dengan sikap professional dan tegas Tun Hanif dalam
menerajui siasatan BERSIH 3.0.
Tidak mustahil DAP punya sesuatu
untuk disembunyikan mengenai BERSIH 3.0, seperti juga dalam kes Teoh Beng Hock.
Mungkinkah DAP bimbang tangan siapa di belakang, dan dari mana datangnya dana
serta bagaimana keseluruhan BERSIH 3.0 dirancang akan terbongkar dengan
seluas-luasnya sekiranya siasatan menyeluruh diketuai oleh tokoh seperti Tun
Hanif, iaitu seorang bekas penguatkuasa undang-undang yang amat dihormati dan
dikagumi oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment