jentera pas

Dalam membina cinta negara ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)



Followers

15/05/2012

Bila Drama Hudud Akan Berakhir?


Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Dr. Raja Ahmad Al Hiss menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai perlaksanaan hudud sekiranya PR menang pilihanraya adalah tidak bercanggah dengan prinsip Pakatan Rakyat.  
Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Harun Taib juga berpendapat yang sama dan menyarankan agar bantahan Karpal dipersetankan saja.    Karpal Singh sebelum ini menempelak Hadi Awang kerana membangkitkan kembali soal hudud yang dianggapnya sudah tamat, iaitu tidak akan dilaksanakan sama sekali apabila PAS bersetuju membuang Negara Islam dari perjuangan dan ditukar kepada Negara Kebajikan. 
Karpal juga merujuk kepada kenyataan Hadi Awang baru-baru ini yang ingin membuang Islam sebagai agama rasmi negara dan sebaliknya akan menerapkan cara hidup Islam (Addin) kepada semua. Karpal dengan itu menuntut agar PAS menghentikan semua cakap-cakap mengenai Islam terutamanya hudud. Kata Karpal, cakap-cakap mengenai Islam ini semakin mengelirukan pengundi, selain tidak bersandar kepada prinsip Pakatan Rakyat. 
Kita bersetuju dengan Karpal bahawa PAS perlu membuat keputusan mengenai pendirian mereka terhadap hudud secara muktamad untuk kesekian kalinya.   Di awal penubuhan PAS, parti itu menjadikan hudud sebagai matlamat perjuangan yang paling tinggi.  Berpegang kepada matlamat ini, ramai ahli-ahli PAS menjadi fanatik dan menentang kerajaan yang dianggap mereka sebagai sekular, hatta kafir kerana tidak melaksanakan hudud.  Peristiwa Memali dan Sauk adalah antara tragedi berdarah yang berakar dari fahaman ekstrem yang dibawa PAS.
Tanpa mereka sedari, ‘hudud’ hanyalah sebuah drama untuk memancing sokongan umat Islam yang tercari-cari pegangan.  PAS tahu, orang Melayu mudah tersangkut dengan drama picisan murahan yang meleret-leret tanpa penghujung.  Dengan itu, PAS telah mempergunakan sepenuhnya sikap ini untuk terus membuai mereka dalam mimpi yang tidak berkesudahan. 
Apabila menghidu peluang untuk ke Putrajaya dengan bekerjasama bersama Anwar Ibrahim, PAS secara tiba-tiba menjadi ‘lembut’ sedikit dan lebih terbuka berkenaan perlaksanaan hukum hudud.  Bagi membuktikan sikap terbuka mereka, Hadi Awang pun berkata:
“Hukum Hudud adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam tetapi menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakannya.” - (Hadi Awang / 07 Mac 2000 / Utusan Malaysia).
Jelas, dengan kedudukan hudud yang hanya sebahagian kecil dari keseluruhan Islam yang luas, maka ketaksuban PAS terhadap undang-undang itu sehingga sanggup mengkafirkan orang lain, adalah satu bentuk ektremisme yang dibuat-buat sekadar untuk meraih keuntungan politik melalui perpecahan ummah. 
Dalam ertikata lain, PAS, terutamanya Hadi Awang sendiri hanya berlakon – kekadang beliau berlakon sebagai terbuka, dan kadang-kadang pula sebagai ekstrem, mengikut arus politik semasa dan mengikut kepala otaknya.  Namun, menyedari bahawa pendirian ini telah mengecewakan ramai ahli-ahli fanatik mereka, maka PAS pun terpaksa berdolak dalih mengenainya setiap kali ditanya. 
Akhirnya, apabila lakonan mereka ternyata berjaya membantu mereka menang di Kedah dan mengekalkan Kelantan, PAS bersetuju menggugurkan terus prinsip Negara Islam yang termaktub dalamnya hukum hudud, semata-mata kerana tidak mahu melepas peluang merebut Putrajaya bersama dengan DAP dan PKR.  Maka berkatalah PAS lagi: 
“Kita ada persetujuan, untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal Hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihanraya”. – (Nik Amar Nik Abdullah, Timbalan Pesuruh Jaya Pas kelantan merangkap Exco Kerajaan Pas Kelantan / 03 September 2010 / Utusan Malaysia)
Sangka PAS, prinsip terbuka mereka akan diterima baik oleh semua termasuk para penyokong mereka.   Tidak pernah terfikir oleh mereka bahawa keputusan tersebut telah memakan diri.  Akibat lakonan yang buruk dan tidak mantap, PAS kini dilihat sebagai alas kaki, kuda tunggangan ataupun anjing suruhan DAP yang tiada maruah dan tiada harga diri. 
PAS dicemuh dan dihina kerana menggadaikan prinsip, yakni agama dan juga bangsa kerana politik.   Lebih buruk lagi apabila sikap terbuka PAS menjadi keterlaluan sehingga sanggup bekerjasama dengan Ambiga yang menyokong murtad dan LGBT, sedangkan mereka pernah berjihad menentangnya.   
Melihat keadaan semakin parah, di mana penyokong semakin marah dan pengundi atas pagar memalingkan terus muka dari mereka, PAS sekali lagi cuba menyambung sinetron hudud yang sepatutnya sudah tamat.   PAS percaya inilah strategi yang paling tepat bagi menghadapi pilihanraya iaitu menunjukkan ketegasan menempelak kembali Karpal Singh yang berkeras menentang hudud. 
Langsung PAS tidak dapat melihat bahawa tindakan ini hanya akan menambahkan rasa menyampah dan muak terhadap mereka.  Ini kerana, yang pasti, Karpal Singh tetap konsisten sejak dari dahulu sehingga kini beliau dan DAP tegar menentang hudud dan Negara Islam.  Yang jelas tidak konsisten, tiada pendirian dan tiada maruah hanyalah PAS. 
Justeru, PAS perlu menerima hakikat bahawa sinetron hudud sudah tidak laku, apatah lagi dengan menggunakan pelakon dan skrip yang sama. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...