Nampaknya setiap kali hampir
demam pilihan raya, isu negara Islam akan timbul semula. Yang menjadi karektor
dalam adegan polemik isu negara Islam ialah PAS sebagai protaganis atau pelopor
dan DAP yang menentang atau antagonis.
Setiap kali PAS membuka mulut
cuba menghidupkan impiannya untuk membentuk Daulah Islamiyah ala acuan politiknya, DAP akan segera
menghentam.
Lebih dua dekad lalu semasa
kedua-dua parti masih menjadi seteru ketat politik, Karpal Singh mencabar
pemimpin PAS supaya 'langkah mayatnya dahulu' jika berani menampilkan cita-cita
perjuangan mereka. Kini perkelahian mereka masih berterusan; yang berbeza hanya
kedua-duanya kini menjadi rakan kongsi dan kawan baik dalam Pakatan Rakyat.
Terkini, Karpal yang sudah
menjadi Pengerusia Kebangsaan DAP mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang
kerana bercakap mengenai cita-cita PAS mahu menubuhkan negara Islam. Abdul Hadi
berkata sekiranya parti itu menjadi rakan kongsi terkuat dalam kerajaan pusat
apabila memerintah kelak, impian itu akan menjadi realiti. Malah PAS mahu
meminda Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan cita-citanya itu.
Bagi DAP, negara Islam versi PAS
akan bermakna berkuburnya parti yang memperjuangkan slogan 'Malaysian Malaysia'
- satu perjuangan yang hanya berlandaskan kepada konsep rasisme Cina.
PAS dan DAP hanya bersatu di
dalam Pakatan Rakyat atas peranan pujukan PKR yang diterajui Anwar Ibrahim. Tanpa
Anwar, tidak mungkin PAS dan DAP akan duduk semeja apatah lagi tidur sebantal. Dengan
masalah dalaman melanda PKR yang semakin
parah dan kucar kacir, ia tidak lagi mampu menjadi simen yang mencantumkan
perkahwinan antara PAS dan DAP.
Tambahan lagi, Anwar yang
dibebankan dengan skandal seks songsang berpanjangan tidak mungkin dapat
mempertahankan maruah, moral dan
kredibilitinya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat. Mungkin api persengketaan dapat
diredakan pada permukaannya tetapi perkelahian PAS-DAP adalah seperti api dalam
sekam yang akan membakar seluruh Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.
Setelah lima wakil parlimen PKR
melompat menjadi anggota bebas dalam Dewan Rakyat, PKR tidak lagi menjadi blok
terbesar dalam pakatan pembangkang. Jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang
dalam Parlimen hanya dikekalkan sebagai tanda hormat PAS dan DAP, tidak lebih
daripada itu.
PAS dan DAP muncul sebagai dua
parti yang lebih kuat daripada PKR. PKR dilihat sebagai parti yang tidak boleh
diharap untuk memimpin pakatan pembangkang kerana kualiti pemimpin-pemimpinnya
yang lemah serta tidak kukuh prinsip perjuangan.
Maka dalam pertembungan PAS-DAP
kali ini dalam isu negara Islam, mereka mungkin tidak mendengar lagi nasihat
Anwar, dan tidak mustahil mengambil haluan masing-masing. Lagi pun PAS berpendapat mereka tidak lagi
memerlukan PKR untuk terus berkuasa di Kedah dan Kelantan, sementara DAP yakin
kekal memerintah di Pulau Pinang dan beranggapan pengaruhnya melebihi PKR di
Sabah dan Sarawak.
Natijahnya, akan berlaku
perebutan kuasa hebat antara PKR, PAS dan DAP menjelang pilihan raya umum ke 13
nanti. Mimpi gah mereka untuk menawan Putrajaya hanya akan tinggal mimpi dan
fatamorgana yang semakin pudar dan akhirnya lenyap.
Tk. BB
No comments:
Post a Comment