Lucu sekali melihat bagaimana Ambiga Sreevanesan menggelupur kerimasan apabila terpaksa berhadapan dengan siri-siri perhimpunan aman di hadapan rumahnya. Beliau dan kuncu-kuncunya pastinya tidak pernah menjangkakan tindak-balas sebegitu rupa oleh rakyat. Secara dasarnya, Ambiga enggan mengakui bahawa yang berhimpun di depan rumahnya itu adalah rakyat biasa serta cuba menuduh kerajaan atau UMNO sebagai dalang. Ini tidak benar. Namun begitu, siapa jua mereka bukan soalnya.
Soalnya ialah, kalau pun benar mereka adalah ahli UMNO, mereka juga adalah rakyat yang punya hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap manusia yang telah menyebabkan perniagaan mereka rugi pada 28hb April yang lalu. Kini terbuktilah sudah bahawa perjuangan Ambiga dan BERSIH keseluruhannya adalah hipokrit semata-mata di mana hak untuk menuntut hak, hanya ada pada Ambiga dan Pakatan Rakyat. Mana-mana rakyat yang tidak menyokong mereka tidak ada hak untuk berbuat yang sama.
Lebih menarik lagi apabila beberapa rakan dan pensimpati Ambiga cuba membantu dengan memberi berbagai-bagai hujah untuk menidakkan hak rakyat untuk berhimpun di hadapan rumah Ambiga. Antaranya, A.Samad Said yang merayu rakyat agar jangan mengganggu Ambiga. Rakan-rakan dan penyokong Ambiga di alam maya juga berusaha untuk memperlekeh dan meremehkan tindakan berhimpun dan berniaga di depan rumah Ambiga, konon untuk merendahkan moral mereka dan mengharapkan mereka bersurai.
Begitu juga dengan akhbar berbahasa Cina, China Press, yang menyatakan bahawa tindakan peniaga tersebut membalas dendam sedemikian adalah kebudak-budakan dan bodoh. Ya, mungkin juga tindakan membalas dendam sebegitu adalah nakal dan kebudak-budakan manakala tindakan BERSIH 3.0 melanggar undang-undang dan mengganas pula tidak nakal dan tidak kebudak-budakan. Tetapi ia adalah tindakan manusia dewasa yang jahat, penuh dengan khianat dan sememangnya tersangat bodoh!
Kerana BERSIH nama negara tercemar, imej negara tercalar, peniaga-peniaga mengalami kerugian serta pihak kerajaan juga menanggung kerosakan harta awam. Semuanya kerana Ambiga.
China Press cuba berhujah bahawa Ambiga tidak harus dipertanggungjawabkan untuk membayar balik kerugian yang dialami peniaga. Alasan mereka, kemusnahan yang berlaku dalam BERSIH 3.0 adalah disebabkan oleh kelalaian dan ketidakcekapan kerajaan, maka gantirugi peniaga-peniaga itu sewajarnya dibayar oleh kerajaan, bukan Ambiga. Hujah mereka lagi, tempat untuk peniaga itu berniaga dan mendapat keuntungan adalah disediakan oleh kerajaan dengan menggunakan cukai yang diperolehi dari rakyat. Entah kenapa kita dapat mengesan sikap perkauman di dalam kenyataan ini. Apakah China Press secara halus ingin memberitahu bahawa majoriti peniaga yang terlibat adalah Melayu dan pembayar cukai tertinggi adalah peniaga Cina?
Lebih lucu lagi apabila China Press menyatakan bahawa peniaga-peniaga tersebut seharusnya boleh membuat untung dan bukannya rugi ketika perhimpunan BERSIH 3.0 sekiranya mereka bijak mengambil peluang.
Justeru, kenapa agaknya BERSIH 3.0 memilih untuk berarak di kawasan peniaga Melayu dan India dan mengelak untuk ke kawasan perniagaan kaum Cina? Bukankah kerana kaum Cina awal-awal lagi tahu yang perhimpunan sebegitu pasti membawa kerosakan, bukan keuntungan dan mengambil langkah awal memastikan kawasan kaum mereka berniaga terselamat dari sebarang risiko?
Contoh yang diberikan pula ialah jika seseorang itu terjatuh ke dalam longkang di bandaraya kerana penutup besinya telah dicuri, maka yang perlu membayar kos perubatan mangsa yang cedera tersebut adalah kerajaan, bukan pencuri tersebut.
Mungkin China Press terlepas pandang bahawa cukai yang dibayar oleh rakyat digunakan untuk pembangunan negara, bukannya untuk membayar gantirugi ke atas tindakan pihak yang dengan sengaja melanggar undang-undang dan membuat kemusnahan. Cukai juga digunakan untuk melahirkan rakyat yang berguna kepada negara bukan pencuri, pengganas, pengkhianat atau pemberontak seperti Ambiga.
Kerana itu, untuk pengetahuan China Press, sekiranya pencuri penutup longkang tadi berjaya ditangkap, pastinya dia juga akan diarahkan membayar gantirugi kepada mangsa oleh mahkamah. Lagipun, apakah China Press cuba menyamakan Ambiga dengan pencuri besi buruk?
Dalam kes BERSIH 3.0, kita tahu siapa penjenayahnya dan lebih dahsyat lagi, penjenayah itu adalah dari pihak pengamal undang-undang, iaitu bekas Presiden Majlis Peguam. Dia telah diberi peluang untuk berhimpun di stadium di mana keselamatan dan keamanan terjamin. Dia juga telah diberi amaran awal akan tempat-tempat yang dilarang.
Tetapi, Ambiga memilih untuk menolak kawasan selamat, dan mengambil risiko berarak di jalanan. Akibatnya, peserta BERSIH telah melanggar undang-undang dengan menceroboh ke kawasan larangan. Kerana kedegilan Ambiga, keganasan yang boleh dielakkan telah tercetus, harta awam musnah dan ramai yang cedera.
Tidak boleh tidak, Ambiga wajib bertanggungjawab dan memikul kesalahan penyokong-penyokongnya, sebagai seorang ketua yang berprinsip, prihatin dan berintegriti. Adalah memalukan bagi seorang yang telah menerima beberapa anugerah kemanusiaan dari barat untuk bersikap lepas tangan, malah enggan terlibat langsung dalam menangani kesan sampingan perbuatannya!
Tahukah Ambiga bahawa seorang Ketua yang baik, akan mempertahankan orang bawahannya dan akan memikul kesalahan mereka sebagai kesalahan sendiri apabila berhadapan dengan masalah? Jika ini pun Ambiga tidak tahu, maka sesuai sangatlah China Press menyamatarafkan beliau dengan pencuri besi penutup longkang!
No comments:
Post a Comment