SUATU ketika dahulu, negara
dikatakan berada di bawah pemerintahan kuku besi kerana pihak berkuasa
bertindak pantas dan tegas terhadap anasir jahat mahupun yang berniat jahat.
Malahan, di kalangan warga media sendiri tidak
dikecualikan daripada tindakan jika didapati melanggar perundangan negara
seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau mana-mana undang-undang lain dalam hasil
karya mereka.
Bagaimanapun, kini terdapat golongan tertentu
yang cuba mengambil kesempatan terhadap ketelusan dan keterbukaan di bawah
kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan cuba berselindung di sebalik
pendekatan kesederhanaan kerajaan untuk menghalalkan perbuatan yang nyata
sekali satu jenayah.
Jika sebelum ini profesion guaman dilihat
tercalar akibat penglibatan sebilangan anggota dalam agenda politik, kini tiba
pula giliran industri kewangan menerima nasib serupa.
Jenayah mendedahkan maklumat
sulit perbankan dan kewangan individu mahupun syarikat telah beberapa kali
dilaporkan berlaku bukannya atas kepentingan ramai tetapi melibatkan agenda
politik.
Umpama 'niat manghalalkan cara'
beberapa anggota parti politik pembangkang dilaporkan telah mencabul Akta Bank
dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 apabila mendedahkan maklumat
rahsia seteru mereka dan perkara itu juga disyaki melibatkan orang dalam
institusi kewangan sendiri.
Dalam usaha melepaskan diri
daripada dipertanggungjawabkan terdapat pula gerakan menghalalkan perbuatan
membocorkan rahsia kewangan itu kononnya atas dasar mendedahkan kepincangan,
dan demi kepentingan umum.
Walaupun terdapat banyak saluran
disediakan termasuk oleh Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendedahkan
maklumat berlakunya kepincangan, pihak terbabit tetap memilih untuk
menyebarkannya kepada media dan umum demi menimbulkan kekeliruan serta syak
wasangka.
Sejauh mana alasan 'kepentingan
umum' dapat diterima demi menghalalkan perbuatan melanggar undang-undang untuk
kepentingan peribadi pihak atau golongan tertentu sahaja?
Adakah sekadar menghalalkan
pendedahan maklumat sulit pemimpin dan kenamaan sahaja atau mungkin rahsia
mana-mana rakyat negara ini juga boleh dikongsi dengan masyarakat dunia?
Sama ada individu yang
mendedahkan mahupun orang dalam indusrti kewangan yang dikatakan terlibat,
adakah mereka akan diambil tindakan setelah menjatuhkan kredibiliti warga
perbankan dan institusi kewangan negara?
Bagi Setiausaha Agung Kesatuan
Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon, sebarang maklumat pelanggan
bank tidak boleh didedah tanpa kebenaran kepada mana-mana pihak luar kerana
semua itu adalah rahsia sulit.
"Pekerja bank yang memegang
mana-mana jawatan sekalipun tidak boleh beri maklumat pelanggan kepada orang
luar. Nube mahu dakwaan penglibatan seorang kakitangan bank dalam kes kebocoran
maklumat kewangan baru-baru ini disiasat sama ada benar atau berlaku secara
lain (kecurian)," Katanya.
Tegasnya, jika ada bukti kukuh
penglibatan kakitangan bank, ia tidak boleh diterima sama sekali kerana telah
ditetapkan dibawah BAFIA maklumat pelanggan itu perlu dirahsiakan.
Beliau turut menjelaskan, pihak
bank masing-masing mempunyai prosedur tindakan tersendiri dalam menguruskan
kejadian tersebut jika terbukti kakitangan mereka terlibat.
"Nube hanya akan membantu
kakitangan bank itu jika didakwa tanpa bukti kukuh tetapi pihak kesatuan tidak
akan bersetuju dengan perbuatan mendedahkan rahsia itu jika terdapat bukti
kukuh.
"Terdapat prosedur dalaman
dan juga mahkamah dalam situasi ini dan kita akan ikut tindakan majikan jika
memang ada bukti kukuh penglibatan kakitangan tersebut," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan kesemua
ahli NUBE mahupun kakitangan bank yang lain agar tidak terlibat dengan sebarang
perbuatan pecah amanah sedemikian. Solomon menegaskan, selain hubungan pekerja
dan majikan, kakitangan institusi kewangan juga tertakluk kepada perjanjian
kolektif kesatuan dan juga undang-undang negara.
"Janganlah kerana politik
kita terlibat dengan perbuatan begini, semua kakitangan perlu menjaga
tanggungjawab mereka kepada pelanggan. Kita tidak boleh terlibat dengan sesuatu
yang bercanggah dengan polisi sedia ada, walau apa pun ideologi politik kerana
ini amanah daripada pelanggan," jelasnya.
Beliau turut menasihatkan
mana-mana kakitangan bank yang terlibat kepincangan atau salah laku, termasuk
perbuatan membocorkan maklumat agar melaporkannya kepada majikan atau saluran
yang telah disediakan.
"Jika takut ataupun pekara
itu melibatkan kakitangan berjawatan lebih tinggi, mereka juga boleh melaporkan
kepada NUBE atau Bank Negara dan identiti mereka akan dirahsiakan. Tidak perlu
risau untuk tampil ke depan bersama bukti yang kukuh jika nampak atau tahu
sesuatu yang tidak kena berlaku," tegasnya.
Tambahahnya, perbuatan
mendedahkan rahsia kewangan mana-mana individu mahupun syarikat tanpa kebenaran
pemiliknya perlu disekat dengan segera kerana ia umpama penyakit berjangkit
yang mudah merebak.
"Kita perlu halang segera
perbuatan sebegini kerana bukan sahaja akan menjejaskan imej bank yang terlibat
malahan semua industri perbankan dan institusi kewangan negara." katanya.
Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon
Navaratnam juga berharap Bank Negara bertindak pantas dan tegas terhadap pihak
yang terlibat dalam melanggar peruntukan BAFIA dan mendedahkan nama-nama
individu mahupun syarikat tanpa kebenaran.
"Peruntukan BAFIA kita kena
ikut, jika berlaku kesilapan atau tidak ikut maka keadaan akan menjadi teruk.
Jika bank negara tidak ambil tindakan tegas, orang tidak akan pedulikan BAFIA
lagi kelak dan keresahan orang ramai juga pasti sukar untuk dikawal."
jelasnya.
Beliau berpendapat, tahap
keyakinan terhadap sistem perbankan dan institusi kewangan tempatan juga boleh
menurun ada perbuatan terebut, seterusnya menjejaskan pelaburan domestik dan
juga dari luar.
"Banyak implikasinya.
Kes-kes melanggar undang-undang perlu diambil tindakan pantas dan tegas, jika
tidak orang akan ingat bank negara dipengaruhi orang politik. Semua agensi
mempunyai sistem kawalan mereka sendiri. Bank negara juga jangan lemah dan
ikutlah sistem sedia ada untuk bertindak," ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga kini
sedang tunggu dan lihat perkembangan isu berkenaan serta mula mempersoal kenapa
belum ada tindakan diambil pihak berkuasa.
Tegasnya lagi, jika tidak
bertindak dengan segera, kejadian mendedahkan maklumat rahsia perbankan
dikhuatiri akan menjadi semakin teruk kelak.
No comments:
Post a Comment