Oleh MAT PIAH TEH DERIS
PENULIS ialah bekas Pengarang
Utusan Melayu
KETUA Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada malam 2 Jun lalu seolah-olah melancarkan "perang"
kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) biarpun tarikh pilihan raya belum
diumumkan. Anwar melancar perang itu di Guar Perahu yang terletak di Parlimen
Permatang Pauh kawasan tradisi yang diwakilinya sejak bergerak aktif sebagai
pemain politik.
Parlimen Permatang Pauh diambil
alih oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR
beberapa penggal semasa Anwar menjalani hukuman di Penjara Sungai Buluh atas
kesalahan pecah amanah. Seperti DAP, PKR juga dimonopoli oleh anak-beranak
Anwar selaku Ketua Umum parti itu tanpa melalui proses pertandingan?
Permatang Pauh bagi Anwar samalah
dengan Parlimen Pekan, Pahang yang diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak yang diwarisi daripada bapanya, Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun
Abdul Razak Hussain. Begitu juga sama Parlimen Gua Musang dengan Tengku
Razaleigh Hamzah dan mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Parlimen Kubang
Pasu dulunya. Kini Dr. Mahathir telah mengisytiharkan diri bersara daripada
politik tetapi kelihatan masih aktif berceramah di sana sini?
Apa yang mungkin menarik kalangan
orang politik bukan sahaja di Permatang Pauh ialah tentang usaha Anwar
mengangkat diri sendiri dengan mengaitkan dirinya dengan tokoh-tokoh pemimpin
dunia termasuk Perdana Menteri baru Turki, Pemimpin Hamas, tokoh Islam Yusof
Qaradawi dan waris kepada tokoh negarawan dan Bapa India, Mahatma Ghandi.
Daripada segi imej dan implikasi
politiknya, apakah Anwar tidak percaya dengan kebolehan dan ketokohan sendiri.
Kenapa beliau mengheret nama beberapa pemimpin dunia luar bagi membantu
ceramahnya?
Ceramah tersebut yang lengkap
dengan tayangan slide di layar gergasi dijadikan sebagai latar belakang pentas
tempat dia berceramah. Aksi itu sebenarnya lebih mirip kepada lakonan solo
pementasan teater.
Dalam hubungan ini, saya teringat
kepada seorang blogger dalam tulisannya menyifatkan Anwar sebagai pelakon
handalan yang sepatutnya mendapat anugerah sebagai "Pelakon Terbaik"
kerana pandai berlakon, petah bercakap, mengata dan bermacam-macam tohmah yang
dilemparkan kepada kerajaan khususnya PM Najib yang mendapat kecaman dan
menjadi sasaran paling buruk darinya.
Dia bukan sahaja memperlecehkan
semua dasar kerajaan sekarang kerana tidak menurunkan harga minyak,
menghapuskan PTPTN dengan memberikan pendidikan tinggi percuma malah Anwar juga
menyentuh soal-soal pribadi yang melibatkan Najib dan isterinya, Datin Seri
Rosmah Mansor.
Ia lebih bersifat satu tohmahan
dan persepsi kerana isu-isu yang ditimbulkan itu tidak pernah didakwa atau
dibawa untuk pengadilan di mahkamah misalnya.
Itulah kelebihan dan kepandaian
tokoh pembangkang bernama Anwar Ibrahim dalam mereka-reka cerita yang berupa
tohmahan disampaikan kepada rakyat seolah-olah isu yang dibangkitkan itu
"real" dan telah melalui proses pendakwaan undang-undang dan hukuman
oleh mahkamah?
Malah pada satu peringkat yang
mungkin menggelikan hati rakyat dan orang ramai yang datang mendengar ceramah
itu, bila Anwar bermonolog siap dengan dialog khayalan ciptaannya sendiri bila
dia berjaya kononnya menjadi Perdana Menteri selepas PRU-13 dan Najib
digambarkan sebagai Ketua Pembangkang gelaran yang disandangnya sekarang.
Dia memberikan gambaran Najib
seolah-olah tergagap tidak dapat menjawab dan cuba melarikan diri bila ditanya
oleh para wartawan tentang pengumuman yang dibuat oleh beliau sebagai PM baru
ketika mengumumkan penurunan harga minyak di Parlimen sehari selepas dia
mengambil alih pentadbiran negara ini?
Ura-ura pembangkang untuk
menurunkan harga minyak pada keesokan harinya sebaik-baik mereka berjaya
memenangi pilihan raya dan memerintah negara bukan perkara baru yang pernah
dijanjikan pakatan pembangkang dalam manifesto kempen PRU-12 pada 2008 lalu?
Anwar juga berlakon bertanya pada
seorang pendengar perihal hasil minyak Petronas berjumlah RM80 bilion setahun
ditolak dengan RM5 bilion untuk menampung pengajian tinggi percuma dengan
menghapuskan PTPTN: "80 - 5 berapa?"
Jawapan yang diterima tentulah 75
dan beliau terus memuji-muji orang yang memberikan jawapan itu sebagai pandai
dan bijak dibandingkan dengan Najib: "80-5 jawabnya muflis." sindir
Anwar diikuti dengan tepukan sorak daripada hadirin.
Yang lebih melucukan bila Anwar
bertanyakan nama orang yang menjawab soalan itu, nama yang kedengaran diberikan
ialah "Najib" yang membuat dia terhenti dengan tawaran asalnya
meminta individu berkenaan memberikan nombor kad pengenalan dan alamatnya?
Mungkin Anwar kantoi di situ.
Sebelum ini, dalam siri ceramah
politik membawakan nada yang sama di kawasan Parlimen Lembah Pantai baru-baru
ini yang diwakili oleh anak perempuannya, Nurul Izzah juga Naib Presiden PKR
yang berlaku sedikit kekecohan. Anwar juga menimbulkan perkara-perkara dan isu
yang serupa.
Jadi bolehlah dijangkakan inilah
modal dan isu politik Ketua Pembangkang itu bagi PRU-13 yang tidak segan silu
mendedahkan impian dan cita-cita besarnya untuk menjadi Perdana Menteri
Malaysia dengan mengherat dan membabitkan tokoh-tokoh pemimpin tertentu dunia
yang pernah ditemuinya.
Ia mungkin penuh gimik dan tokok
tambah tanpa pengetahuan pemimpin yang dibabitkan namanya itu? Inilah imej
Anwar sebenarnya yang sudah begitu yakin malah over confident dan bersifat
takbur untuk memenangi PRU-13 dan merampas Putrajaya?
Macam mana jika ditakdirkan
dengan izin-NYA dan kehendak Allah SWT, beliau gagal sekali lagi selepas
ura-ura "16 September" dulu kerana rakyat khususnya majoriti 12 juta
pengundi menolak gaya kepimpinan beliau dan Kerajaan Barisan Nasional (BN)
terus diberi mandat dan amanah untuk memerintah negara ini.
No comments:
Post a Comment