Noor Azam
ENAM PULUH tahun lalu - ketika
Kerajaan British gagal menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai jajahan
takluknya dan negara kita diberikan nama baru Persekutuan Tanah Melayu - siapa
pernah terfikir sebuah pulau warisan nenek moyang kita, akhirnya akan diperintah
oleh pendatang dari luar dunia Melayu.
Semasa Raffles menjejak kakinya
di pulau yang amat strategik ini, pulau ini diperintah oleh raja yang bergelar
sultan, lengkap dengan istana, para pembesar dan para penggawanya. Tetapi
akibat ingin hidup leka-mewah dan lihainya (pintarnya) politik pegawai British,
Sultan Husain Shah terpaksa membawa diri ke Melaka dan mangkatlah baginda di
sana.
Selepas Perang Dunia Pertama,
semasa UMNO mengepalai perjuangan kemerdekaan, di pulau ini ada juga parti UMNO
yang kuat di samping pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain. Akhbar Utusan
Melayu yang menjadi suara utama perjuangan kebangsan Melayu yang bertunjang di
Semenanjung, pun bertapak di pulau ini.
Waktu itu orang Melayu pribumi
pulau ini di pandang tinggi. Para penulis, wartawan dan seniman dari
Semenanjung berhijrah ke pulau ini - mencari hidup baru. Keris Mas, Usman
Awang, Asraf, Wijaya Mala, Abdullah Hussain, Jamil Sulung, P.Ramlee dan Romai
Noor tertawan oleh gadis Singapura. Itulah Singapura, kebanggaan kita pada
zaman itu - bukan Kuala Lumpur.
Sekarang, UMNO Singapura sudah
lama terkubur dan tidak jadi sebahagian daripada sejarah moden Singapura. Orang
Melayu Singapura jadi kelompok-kelompok minoriti yang hidup mengharapkan belas
kasihan pemerintah.
Dua puluh tahun lagi, dunia akan
lupa bahawa di pulau ini pernah ada bangsa dan kerajaan Melayu (sekarang pun
yang masih ingat hanya generasi tua seperti saya). Anak-anak keturunan Melayu
yang masih tertinggal pun tak akan peduli lagi pada bangsa Melayu. Mereka sudah
jadi warga Singapura.
Nyatalah sejarah telah menjadi
bukti, bahawa Sultan dengan institusi istananya dan satu bangsa yang pada suatu
masa dipandang tinggi, boleh hilang kedudukannya dalam masa 60 tahun saja. Sang
Nila Utama dan Temasik tinggal dalam hikayat yang usang.
Kuasa memerintah berpindah ke
tangan kaum pendatang. Lalu di tengah-tengah Nusantara Melayu wujudlah sebuah
negara bukan Melayu yang gagah dan makmur.
Kita gelabah dan memukul
bayang-bayang
Apabila Karpal Singh mengumumkan secara
terbuka: “Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan
Melayu menjadi Perdana Menteri," tokoh-tokoh Melayu mengatakan, ini
cita-cita yang ‘mustahil’ dapat dicapai.
Karpal dikatakan ‘mimpi di siang
hari’ dan ‘buta sejarah’. Pengerusi DAP ini dikatakan tidak memahami
Perlembagaan Negara dan kedudukan serta kuasa institusi raja, khususnya Yang
di-Pertuan Agong.
Karpal memang sudah tahu dia akan
diserang dengan macam-macam tuduhan. Itu pun memang salah satu tujuannya -
memancing lawan. Mengacu Melayu bertinju, tetapi dia berdiri di luar
gelanggang. Terciptalah satu lagi isu politik yang panas lagi sensasi menjelang
pilihan raya.
Kalau pun tidak di bibir, dalam
hatinya Karpal tersenyum puas, melihat gelagat pemimpin pertubuhan dan
tokoh-tokoh cendekiawan Melayu memukul bayang-bayang, terlupalah tugas penting
yang perlu dikerjakan. Tokoh peguam-politik terkenal ini, gembira melihat Pas
yang gelabah dan orang UMNO lawan bertengkar dengan orang Pas! Pancing
politiknya dimakan. Umpannya Melayu!
Beberapa tahun lalu Karpal
berikrar, jika Pas hendak menegakkan pemerintahan Islam, langkah mayatnya dulu.
Provokasi politik ini menimbulkan reaksi panas dan orang Melayu di luar UMNO
menyerang Pas habis-habisan, kerana masih tetap bersekongkol dengan DAP. Maka
Pas pun jadi gelabah dan membatalkan perjuangan menegakkan negara Islam.
Kali ini sekali lagi Karpal
menguji pendirian politik Pas dan keutuhan politik Melayu. Yang nyata Pas
gelabah lagi. Kedua-dua pemimpin besarnya mengagau-ngagau mencari-cari jawapannya.
Kata Presiden Pas, Datuk Abdul
Hadi Awang, “Itu pandangan peribadi Karpal. Pas akan ikut resolusi Pakatan
Rakyat yang telah dipersetujui rakan-rakan parti lain dan itu merupakan
keputusan parti." Ini jawapan orang politik. Tidak mahu terperangkap.
Mengapa tidak berani kata, “Pas tetap mahu Perdana Menteri Melayu"?
Apabila pemimpin Melayu tidak
berani bertegas dan takut menerima risiko politik, bukanlah mustahil suatu masa
nanti PM kita bukan orang Melayu. Ketakutan itulah salah satu sebab Singapura
terlepas daripada tangan kita.
Reaksi awal Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat pula, tak mahu buat ulasan. Hanya kata, “Karpal Singh orang tua."
Maknanya, cakap orang tua tak boleh pakai kerana sudah nyanyok. Pada detik itu
mungkin Nik Aziz terlupa, beliau pun sudah terlalu tua!
Lepas itu, beliau buat komen
lanjut, " Nak bukan Melayu tidak apa, asalkan beragama Islam. Mana boleh
pimpin Islam kalau tidak Islam. Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang. Jadi,
bangsa apa pun tak peduli." Bagi Nik Aziz, syaratnya Islam. Syarat Melayu
tak perlu.
Presiden Biro Ekonomi Majlis
Perundingan Melayu, Tan Sri Dr. Kamal Salih kata, “Selagi kedudukan Yang
di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan Raja-Raja Melayu di takhta, selagi
itulah hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama
Persekutuan terpelihara, termasuk kedudukan Perdana Menteri di kalangan orang
Melayu."
Persoalannya, bagaimana kalau
perkara-perkara yang disebut oleh Dr. Kamal itu tidak ada lagi? Bagaimana kalau
Perlembagaan dipinda, kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja
itu diubah atau berubah? (Saya teringat kedudukan Sultan dan Raja-Raja Melayu
semasa zaman pemerintahan British dan semasa mereka menandatangani perjanjian
Malayan Union.)
Perubahan ini tidak mustahil.
Dalam sistem demokrasi, kuasanya di tangan pengundi dan parti yang mendapat
kuasa memerintah.
Presiden Pertubuhan Pemikir
Profesional Melayu. Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar kata, “Sebagai pemimpin
dia (Karpal Singh) harus sedar negara ini kepunyaan nenek moyang Melayu sejak
4,000 tahun lalu dengan pemerintah terdiri daripada Raja-Raja Melayu dan
penduduk majoriti ialah 67 peratus orang Melayu."
Persoalannya, apakah cukup kita
menghadapi persaingan politik sekarang hanya dengan mengatakan “negara ini
kepunyaan nenek moyang dan ada Raja-Raja Melayu sejak 4,000 tahun lalu"?
Saya rasa, sejarah dan masa lalu,
bagaimana hebat pun, tiada kuasa untuk masa ini dan masa depan kita dan anak
cucu kita. Jumlah 67 peratus Melayu mungkin berubah (contohnya di Pulau Pinang,
dalam masa dua tahun, 18,000 sudah membawa diri). Juga yang menentukan bukanlah
sangat jumlah penduduk, tetapi yang lebih penting, berapa jumlah kawasan
pilihan raya yang Melayu sudah jadi minoriti atau sudah terpecah dua?
Pada masa ini memanglah cita-cita
Karpal itu tak mungkin akan tercapai. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek
pun yakin, “PM daripada kaum Cina sesuatu yang tidak mungkin dicapai pada masa
sekarang." Tegasnya, “Ahli DAP tidak boleh menjadi PM jika mereka mendapat
kuasa sekarang."
Tetapi kita bercakap tentang masa
depan - 10 atau 15 tahun lagi? Mengira-ngira keputusan dua atau tiga kali
pilihan raya lagi - cita-cita yang disuarakan Karpal itu bukanlah sesuatu yang
mustahil.
Lebih-lebih lagi yang prihatin
sekarang hampir semuanya generasi tua, berumur 60 tahun ke atas. Suara generasi
muda - peringkat anak-anak dan cucu-cucu saya - hilang entah ke mana.
Jika generasi muda ini tidak
ambil peduli dan hati mereka tidak tersentuh apabila Karpal kata dia mahu PM
bukan Melayu, adalah petanda kuasa Raja dan bangsa Melayu akan hilang -
mengulang sejarah Singapura. Suara Karpal Singh itu bukan suara peribadi. Kalau
dia sudah tidak ada lagi pun, ingatlah! Suara itu tidak akan mati.
DATUK NOOR AZAM ialah
bekas Ketua
Editor Buku Umum,
Majalah di Dewan Bahasa dan
Pustaka,
kolumnis dan bekas Pengerusi TV3-
Artikel dipetik dari Utusan
Malaysia
No comments:
Post a Comment