Apabila terdapat cadangan bahawa
kerajaan dijangka menambah peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap kawasan
Parlimen yang diwakili Barisan Nasional, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim
meloncat dan melenting.
Peruntukan tambahan yang
membabitkan kira-kira RM200 juta itu dikatakan Anwar satu tindakan terdesak
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tujuan peruntukan itu adalah
supaya wakil-wakil rakyat BN boleh melaksanakan pelbagai projek serta program
pembangunan rakyat di kawasan masing-masing.
Ia bukan dana untuk kempen
pilihan raya mahupun bagi kepentingan peribadi ahli-ahli parlimen terbabit
kerana kelulusan setiap permohonan untuk menggunakan peruntukan itu perlu
mengikut proses yang ketat dan telus, selalunya melalui pejabat daerah.
Setiap kali kerajaan memberi
bantuan, pembangkang memandang serong dan melempar pelbagai tuduhan kononnya ia
bermotifkan politik.
Seolah-olahnya tidak ada apa-apa
kebajikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat tanpa menerima
cacian dan fitnah pihak pembangkang.
Anwar juga mengelabah apabila
kerajaan juga bercadang untuk meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) bagi pusingan kedua.
Pada pusingan pertama BR1M,
kerajaan telah berjaya menyalurkan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap
keluarga yang layak membabitkan hampir satu juta keluarga di seluruh negara
dengan peruntukan RM2.6 bilion.
Pelaksanaan program BR1M bagi
kali kedua ini adalah kerana kerajaan berpendapat masih terdapat ramai keluarga
yang perlu dibantu dalam usaha meringankan beban kehidupan mereka.
Kemelut ekonomi dunia yang
semakin meruncing sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada Malaysia, dan
sebagai kerajaan ang bertanggungjawab, kebajikan rakyat perlu didahulukan.
Inilah usaha yang dilakukan oleh
Perdana Menteri yang telah melaksanakan banyak program dan dasar yang
mementingkan rakyat.
Anwar membuat kritikan membabi
buta untuk menutup kegagalannya sebagai Ketua Pembangkang dan Penasihat Ekonomi
Negeri Selangor.
Yang paling menyedihkan taraf
beliau sebagai bekas Menteri Kewangan yang kononnya berpengalaman tidak
langsung diberi pengiktirafan oleh Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim.
Walaupun jawatan Menteri Besar
diungguli oleh PKR, namun semua cadangan Anwar berkaitan ekonomi Selangor,
ditolak mentah-mentah oleh Abdul Khalid.
Buktinya, tidak ada satu program
pembangunan di Selangor pun yang boleh dikaitkan dengan cetusan minda Anwar.
Malah boleh dikatakan Anwar tidak
membawa apa-apa pembangunan atau perubahan positif kepada kehidupan rakyat
Selangor.
Beliau lantang bersuara untuk
menurunkan harga minyak petrol apabila berjaya merampas Putrajaya pada pilihan
raya umum kelak.
Sekiranya inilah hasratnya, apa
salahnya jika Selangor menggorak langkah dengan memberi subsidi bahanapi di
negeri itu?
Bukankah itu akan lebih meyakinkan
rakyat bahawa pembangkang cakap serupa bikin?
Dalam isu PTPTN pula, apabila
kerajaan mengambil keputusan membekukan permohonan pinjaman bagi pelajar
Unisel, Menteri Besar segera membuat cadangan cetek untuk menjual aset kerajaan
negeri untuk menampung dana pelajar.
Jika inilah dasar menjual harta
benda negeri yang termampu difikirkan oleh pembangkang setiap kali berdepan
dengan krisis, besar kemungkinan Selangor akan bankrap belum sempat habis satu
penggal mereka mentadbir negeri itu.
Hakikatnya pembangkang hanya
pandai bercakap dan membuat janji manis yang tidak masuk akal tetapi gagal
menggotakan setiap yang dijanjikan kepada rakyat.
Umpamanya amaran kerajaan pusat
bahawa Selangor bakal menghadapi krisis bekalan air yang serius menjelang tahun
2014 tidak dihiraukan.
Pembangkang terus memperjudikan
nasib rakyat dan masa depan kemajuan ekonomi negeri dengan mempolitikkan isu
projek Langat 2 untuk menyalurkan air Sungai Pahang ke Selangor.
Pembangkang lebih rela melihat
rakyat Selangor menderita kerana kekurangan bekalan air daripada bekerjasama
dengan kerajaan pusat mencari penyelesaian.
Anwar dan kuncu-kuncu
pembangkangnya hanya mampu menyalak untuk mempengaruhi rakyat supaya membenci
kerajaan kerana realitinya mereka gagal untuk melakukan satu kebaikan pun untuk
rakyat.
Bak kata pepatah, pembangkang
berlagak seperti tin kosong, lebih bunyi daripada isi.
No comments:
Post a Comment