Pilihanraya ke 13 yang akan
dilangsungkan tidak berapa lama lagi pastinya menjanjikan banyak peristiwa
menarik, antara yang akan menjadi tumpuan ramai ialah politik dinasti. Apabila
disebut politik dinasti ia berkait langsung dengan isu kronisme dan nepotisme
ataupun boleh juga dikenali sebagai politik suku sakat.
Suatu ketika dulu, isu sebegini
kerap dipalitkan pada batang tubuh UMNO khususnya di era kegawatan emosi 1998.
Antara tuduhan popular tika itu ialah pemimpin UMNO banyak mengkayakan kroni
dan ahli keluarga sendiri. Tukang rintis mempopularkan isu pula tak lain tak
bukan ialah Anwar Ibrahim.
Kebetulannya, tatkala Anwar
menikmati puncak kuasa sewaktu bersama UMNO, dialah orangnya yang banyak
mempelopori mencipta kekayaan untuk kroni melalui pemilikan saham percuma,
jawatan penting parti dan kerajaan serta pembahagian kontrak termasuklah
berjaya menjadikan abang kandung dan ayahnya jutawan segera dalam sekelip mata.
Kini, Anwar terus mengekalkan
reputasinya sebagai pelopor kronisme dan nepotisme sekalipun sudah bertukar
sikap menjadi pembangkang tegar. Parti yang di dukungnya, PKR lebih dikenali
sebagai parti keluarga berbanding parti untuk rakyat. Anwar adalah Ketua Umum,
isterinya Wan Azizah sebagai Presiden, anak perempuannya Nurul Izzah pula
adalah Naib Presiden.
Dalam pada itu, PAS juga tidak
lepas dari terjebak dengan masalah kroni dan nepotisme, saling tak tumpah dengan
PKR. Ura-ura terbaru dari Kelantan menyebut, ramai pemimpin PAS sedang berusaha
mengangkat anak Menteri Besar, Nik Abduh Nik Aziz sebagai calon pilihanraya
bagi Parlimen Kubang Kerian.
Nik Abduh yang kini dikenali
sebagai orang kaya baru di Kelantan juga pernah merasa empuknya kerus sebagai
Ahli Majlis MPKB selama bertahun-tahun sebelum meletakkan jawatan kira-kira 3
tahun lalu.
Tika ini Nik Abduh adalah
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua tahun lalu Nik Abduh pernah merasa
penangan sepak terajang politik apabila terpelanting seketika selepas gagal
merebut jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan hasil permainan politik Husam
Musa dan penyokongnya. Walau dari kem yang kelihatan sama tapi masing-masing
ada fokus dan matlamatnya yang tersendiri.
Sekiranya pencalonan Nik Abduh
dalam pilihanraya nanti menjadi kenyataan, bermakna Naib Presiden PAS, Husam
Musa yang juga anak didik Nik Aziz dan satu ketika dulu pernah di war-warkan
bakal menjadi MB mengantikan Nik Aziz sekali lagi terpaksa menjelajah setiap
PAS Kawasan untuk mencari kerusi kosong dan selamat.
Umum mengetahui jatuh bangun
Husam Musa berkait rapat dengan Nik Aziz manakala sinar politik Nik Abduh juga
hasil dari darah keturunan yang mengalir dalam batang tubuhnya. Dengan kata
lain kroni dan nepotisme dah lama mendarah daging bersama PAS, bezanya ia
kurang diperkatakan ramai kerana dikaburi dengan label "Islam" yang
tercatat pada nama PAS.
No comments:
Post a Comment