jentera pas

Dalam membina cinta negara ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan dan pengorbanan rakyat terhadap negara serta pemimpin secara menyeluruh. Rasa cinta itu terkumpul dalam erti kata dasar iaitu taat setia yang tidak berbelah bahagi. Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya: “Barangsiapa yang mentaatiku, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa yang mengingkariku, maka sesungguhnya dia telah mengingkari Allah. Juga sesiapa mentaati pemerintahku, maka sesungguhnya dia juga mentaatiku, dan sesiapa yang mengingkari pemerintahku, maka sesungguhnya dia telah mengingkariku.” (Hadith al- Bukhari)



Followers

01/06/2012

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Lambang Kekuatan Agama dan Bangsa


Sesebuah Negara sememangnya memerlukan kepada ketua atau pemimpin bagi memimpin Negara dan rakyatnya untuk kesempurnaan pentadbiran agar menjadi lebih teratur dan berjaya dalam setiap bidang. Dalam Islam kedudukan seseorang pemimpin itu adalah mulia dan tinggi kerana mereka ini disyariatkan bagi menggantikan tugas kenabian dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia umat Islam. Menurut Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas pemimpin itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir urusan dunia. Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dikurniakan seorang Raja dan pemimpin yang sentiasa bertanggungjawab dan kasih terhadap rakyatnya. Ini jelas dapat dilihat di mana kemajuan-kemajuan untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan dan dapat dicapai serta dinikmati oleh rakyat sehingga menjadikan Negara kita seiring dengan Negara-Negara maju yang lain. Demikian nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Firman Allah SWT di dalam surah Hud ayat 61:
Maksudnya:   “ Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.”
Dalam Perkara Tiga (3), Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai agama Negara. Bagaimanapun  agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam di Negara ini Perlembagaan juga memperuntukkan dalam Perkara Sebelas (11) (4) bahawa diayah agama lain kepada umat Islam adalah dilarang. Di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di Negeri-Negeri lain Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.
Raja berperlembagaan bukan sahaja menjadi lambang sebuah Negara yang berdaulat, bebas dan merdeka tetapi ia juga merupakan lambang kekuatan agama dan bangsa. Justeru berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong merupakan pemerintah tertinggi, sebagai Ketua Negara dan Baginda juga sebagai Ketua Agama Islam.  Yang di Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di Negara kita. Umat Islam di Negara ini amat bersyukur kepada Allah SWT dan merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih kepada Majlis Raja-Raja dan pemimpin- pemimpin kita yang bekerja kuat memberi kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan Negara.
Bagaimanapun, pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, peranan Mahkamah Syariah dan bidangkuasa Raja sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu di Negara ini. Persoalan besar timbul ialah mengapa keadaan ini berlaku?. Berdasarkan pemerhatian, keadaan ini berlaku kerana antaranya ialah terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama dan bangsa kerana mengejar kuasa serta ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikannya  atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain. Oleh itu, ini ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika umat Islam hilang maruah, menggadaikan agama dan bangsa, maka lambat laun umat Islam di Negara ini akan menerima nasib yang malang lagi hina di bumi sendiri.
Negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan agama. Masing-masing berusaha memperjuangkan hak asasi budaya dan agama mereka. Kita amat bersyukur dan menjunjung kasih dalam suasana genting dan gawat, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah membantu menyelamatkan ketegangan politik, menjaga kesucian Islam, adat istiadat orang Islam dan menjadi simbol perpaduan rakyat di Negara ini.
Islam adalah agama Allah yang diturunkan kepada manusia. Oleh itu sebagai Ketua Agama Islam, memperlihatkan kepada kita bahawa amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong amatlah berat. Maka, kita selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong hendaklah sentiasa memberikan taat setia yang tidak berbelahbagi kepada pemerintah Negara. Ingatlah kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:
Maksudnya: " Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." .
Sejak merdeka hingga kini telah terbukti bahawa institusi Raja-Raja memainkan peranan penting dalam mempertahankan Islam dan perpaduan rakyat di Negara ini. Bagi mengekalkan suasana aman damai ini, marilah kita sebagai rakyat Malaysia hidup penuh mahabbah serta bersatupadu dengan menjunjung institusi Raja berperlembagaan. Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai kesucian Islam sebagai agama rasmi di Negara ini. Seorang ulama Abu Abdullah menyatakan di dalam kitabnya Tahzib al-Risalah bahawa: ’Teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau- bilau dan mereka akan saling bunuh membunuh antara satu sama lain’.
Akhir sekali, bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, marilah sama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong  Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni AlMarhum Sultan Badlishah  dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan bagi mentadbir Negara dan menjalankan tugas dengan sempurna. Kita doakan juga agar Negara dikekalkan nikmat keamanan dan kestabilan politik, dijauhkan dari segala perbuatan jahat dan fitnah yang boleh membawa malapetaka dan kehancuran. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara rakyat yang berbilang kaum, kukuhkan perpaduan  semoga sentiasa hidup aman damai, menikmati keadilan, kemakmuran dan keselamatan sepanjang zaman. Kita juga memohon dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan  usaha membangunkan agama, bangsa dan Negara.

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.
(Surah al-Anfaal ayat 46)

t.k to jakim  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...